NILAI – Pusat Kerjaya dan Alumni (PUSAKA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh budaya alumni giving back sebagai antara strategi utama pembangunan universiti, selari dengan Agenda 7 Tujahan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2026 yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi.
Agenda tersebut menegaskan peranan alumni sebagai aset strategik universiti dan rakan pembangunan negara, khususnya melalui sumbangan kepakaran, pengalaman profesional, jaringan industri serta sokongan berterusan kepada ekosistem pendidikan tinggi. Sehubungan itu, PUSAKA USIM menggerakkan pendekatan bersepadu bagi menginstitusikan penglibatan alumni secara lebih bermakna, berimpak dan berteraskan nilai.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dr. Mushaddad Hasbullah menegaskan bahawa universiti mengharapkan sumbangan alumni yang menyeluruh dan berterusan melalui pelbagai platform. Menurut beliau, konsep alumni giving back tidak terhad kepada sumbangan kewangan semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai bentuk sumbangan yang menyokong pembangunan universiti dan masyarakat.
“USIM mahu melihat alumni menyumbang secara bermakna dalam pelbagai bentuk sama ada melalui sumbangan kewangan bagi menyokong kebajikan dan pembangunan universiti, kembali ke kampus sebagai pelajar pascasiswazah, menzahirkan akhlak Islam yang unggul dalam kerjaya dan industri, atau tampil sebagai pemimpin masyarakat yang membawa nilai serta citra USIM,” katanya.
Menurut PUSAKA USIM, pelaksanaan konsep alumni giving back memberi penekanan kepada sumbangan bukan kewangan yang berimpak tinggi, termasuk pemindahan ilmu dan kepakaran profesional, bimbingan kerjaya, perkongsian pengalaman industri serta pembinaan jaringan strategik antara universiti, industri dan komuniti. Pendekatan ini dilihat lebih lestari dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan serta kerelevanan universiti dengan keperluan semasa negara.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah program Alumni Back to Campus, yang merangkumi sesi perkongsian kerjaya, program mentor-mentee, forum industri serta karnival kerjaya. Melalui platform ini, alumni kembali ke kampus untuk membimbing mahasiswa, berkongsi realiti dunia pekerjaan dan menyumbang pandangan industri dalam pembangunan modal insan USIM.
Dalam aspek pembentukan sahsiah, alumni USIM turut berperanan sebagai model teladan dalam menzahirkan akhlak Islam yang baik di tempat kerja dan organisasi. Kejayaan alumni yang berintegriti, beretika dan berjiwa kepimpinan menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa, sekali gus menyokong aspirasi USIM untuk melahirkan graduan yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan kepimpinan.
Bagi menyelaras penglibatan alumni secara lebih sistematik, PUSAKA USIM turut memperkasa Chapter Alumni USIM sebagai jaringan rasmi yang menghubungkan alumni dengan universiti, industri dan masyarakat. Program seperti Jejak Alumni USIM pula menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan, kebajikan serta peluang kolaborasi strategik antara alumni dan universiti.
Secara keseluruhannya, pendekatan alumni giving back yang digerakkan oleh PUSAKA USIM mencerminkan komitmen universiti dalam menyahut Agenda 7 Tujahan KPT 2026, dengan menjadikan alumni sebagai rakan pembangunan yang aktif, beretika dan berpengaruh dalam memacu kecemerlangan USIM serta ekosistem pendidikan tinggi negara.