NILAI — Pasangan muda Nur Nuwairah Mohammad Lutfi, 26, dan Muhammad Faruq Mohd Farith, 28, tidak menyangka rezeki mereka begitu manis apabila berpeluang menamatkan pengajian Diploma Lepasan Ijazah Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hanya dua bulan selepas mendirikan rumah tangga.

Sebelum menyambung pengajian DIJAP, kedua-duanya merupakan alumni Universiti Malaya dalam Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang dengan Kepujian.

Memilih USIM sebagai destinasi seterusnya, pasangan ini berkata program DIJAP menawarkan peluang kerjaya yang lebih luas dalam sektor kehakiman dan perkhidmatan kerajaan, selain kos pengajian yang lebih berpatutan berbanding universiti lain.

Dari segi latar keluarga, Nuwairah merupakan anak ketiga daripada lima beradik, manakala Faruq adalah anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik.

Mengimbau perjalanan pengajian mereka, pasangan ini mengakui tempoh tersebut bukanlah mudah. Mereka perlu mengimbangi kerja, persiapan perkahwinan dan tugasan akademik. Namun sokongan keluarga menjadikan segala urusan lebih teratur.

Nuwairah yang juga pempengaruh media sosial dengan 32.6 ribu pengikut di Instagram berkata, suaminya banyak membantu mengurus masa terutamanya ketika komitmen kerja dan pengajian semakin padat. Beliau mula menceburi dunia kandungan digital sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula dengan menjual knitwear dan menghasilkan ilustrasi digital sebelum beralih sepenuhnya kepada penciptaan kandungan.

“Saya mula dapat perhatian sebab saya suka buat creative photo editing. Ramai jadikan hasil saya sebagai rujukan,” katanya. Pendapatan sampingan itu membantu menampung perbelanjaan harian sepanjang pengajian.

Sementara itu, suaminya Faruq menitipkan pesanan kepada pasangan yang merancang untuk berkahwin semasa belajar.

“Kalau nak kahwin masa belajar, ukur baju pada badan sendiri. Jangan banding dengan orang lain. Fokus habiskan belajar dan cari kerja dulu. Belajarlah memahami kemampuan diri dan tidak mengabaikan tanggungjawab akademik, ” katanya.

Baginya, rezeki berkahwin muda dan menamatkan pengajian bersama isterinya adalah pengalaman paling bermakna dalam hidup mereka.

 

Oleh: Nurul Fathihah Shaipol Azman & Nur Maisarah Mohd Zaimee