NILAI, 10 OKT 2016 – Cadangan model rumah pintar yang mesra tenaga oleh Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dinamakan ‘Rumah Mizan’ mengharumkan nama Universiti dan Malaysia apabila menjadi wakil tunggal negara yang terpilih sebagai peserta akhir ke Solar Decathlon Middle East (SDME) 2018 bertempat di Dubai.

USIM menempatkan diri bersama-sama 19 universiti lain dari seluruh dunia yang terpilih menjadi 20 peserta akhir ke SDME 2018 yang diumumkan secara rasmi keputusannya oleh penganjur utama, Dubai Electricity and Water Authority (DEWA) di Dubai Convention and Exhibition Centre.

Pengumuman ini dibuat bersempena penganjuran World Green Economy Summit (WGES) 2016 yang berlangsung pada 5 dan 6 Oktober lalu yang dinaungi oleh Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, selaku Perdana Menteri  Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Dubai.

“Universiti yang ingin bertanding di dalam SDME perlu mengemukakan cadangan model rumah pintar yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar dan FKAB USIM bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan model Rumah Mizan ini. Rumah ini juga perlu disesuaikan untuk menghadapi cabaran musim panas, habuk dan kelembapan yang tinggi di rantau ini (Dubai)”.

“Pasukan Rumah Mizan mempunyai masa dua tahun untuk mereka bentuk dan membina rumah yang berciri lestari dan mampan ini. Setelah selesai, pasukan akan terlibat dalam sepuluh pertandingan yang berbeza, antaranya meliputi penilaian seni bina, kejuruteraan untuk kelestarian dan inovasi. Ia memberi cabaran dan pengalaman baharu kepada kami dalam menghasilkan sebuah rumah yang menepati konsep ‘clean energy’ ” ujar Ar. Fadli Arabi, Penyelaras Jabatan Senibina, FKAB USIM.

Menurut Naib Presiden Majlis Tertinggi Tenaga Dubai merangkap Ketua Pegawai Eksekutif DEWA, Saeed Mohammed Al Tayer, pemilihan pasukan akhir ini telah dibuat dengan teliti oleh barisan panel yang pakar dan berpengalaman untuk melihat dan menilai cadangan mereka. Proses penilaian ini telah mengambil masa beberapa minggu sebelum dimuktamadkan.

“Memilih senarai 20 pasukan terbaik dari begitu banyak pasukan yang bagus memberi petunjuk bahawa saingan yang sengit bakal ditunjukkan oleh para pasukan akhir untuk menghasilkan reka bentuk dan membina rumah terbaik untuk dinobatkan sebagai pemenang. Keputusan pertandingan SDME ini akan diumumkan pada Oktober 2018 nanti bersempena penganjuran Solar Decathlon 2018 dengan pemenangnya kelak bakal menerima hadiah wang tunai AED 10 juta” ulasnya dalam satu kenyataan.

Selain USIM, universiti lain yang turut tersenarai ialah Ajman University of Science & Technology (UAE); American University Dubai (UAE); American University of Ras AlKhaimah (UAE); Dhofar University (Oman); Universiti Teknologi Eindhoven (Belanda); Gabriele D’Annunzio University of Chieti-Pescara (Italy); Heriot-Watt University Dubai (UAE); dan Ion Mincu University of Architecture and Urbanism, (Romania).

Turut terpilih ialah King Saud University (Arab Saudi); National University Chiao Tung (Taiwan); National University of Sciences and Technology (Pakistan); New York University Abu Dhabi (UAE); Qatar University (Qatar); Sapienza University of Rome (Italy); The Petroleum Institute (UAE); The University of Jordan (Jordan); University of Belgrade (Serbia); Universiti of Bordeaux (Perancis); University of Sharjah (UAE); University of Wollongong (Australia); dan Virginia Tech (Amerika Syarikat).

SDME dianjurkan melalui perjanjian di antara Majlis Tertinggi Tenaga Dubai, DEWA, dan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat dengan matlamat utama untuk menyebar luaskan ilmu pengetahuan mengenai inovasi perumahan yang cekap tenaga dan mampan. Ia juga menyokong Strategi Tenaga Bersih Dubai 2050, yang dilancarkan oleh Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum untuk mengubah Dubai sebagai hab global bagi tenaga bersih dan ekonomi hijau, mempelbagaikan tenaga Dubai, dan meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui.

USIM amat berbangga dengan kejayaan FKAB di Dubai ini selepas mengharumkan nama Universiti pada tahun lalu apabila model rumah banjir patuh syariah yang dihasilkan bersama oleh pensyarah dan pelajarnya dipilih sebagai pemenang Projek Shelter anjuran TESCO Malaysia untuk dibina bagi mangsa banjir besar di Kelantan.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204