NILAI – Muhammad Safwan Bin Zaidi,23, merupakan salah seorang daripada 384 orang graduan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan yang bergraduasi di Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia yang ke-21.
Safwan memulakan pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan kepujian di USIM pada tahun 2019. Sepanjang pengajiannya pelbagai kerja-kerja sambilan yang beliau ceburi antaranya sebagai pekerja di ladang sawit serta menjaga dan melapah lembu.
“Ayah tidak berapa sihat, beliau merupakan seorang penghidap penyakit kencing manis dan tidak mampu melakukan kerja yang berat, jadi saya bantu ayah untuk menguruskan lembu peliharaannya”, kata Safwan yang berasal dari Felda Chemomoi, Bentong, Pahang.
Manakala ibunya yang berusia 48 tahun bekerja sebagai guru kafa di kampungnya.
Pada pandemik covid-19 melanda, menurut Safwan pembelajaran secara atas talian adalah sangat mencabar kerana kawasan kampungnya tidak memiliki liputan internet yang kuat sehingga menyebabkan dia tidak dapat mengikuti kelas tersebut. Justeru, masa terluang digunakan untuk menambah pendapatan untuk menampung kos pengajiannya dan mengurangkan beban ibu bapanya.
“Selepas pinjaman PTPTN ditolak dengan yuran pengajian, hanya tinggal sebanyak RM1,700 yang boleh digunakan untuk satu semester dan bagi saya jumlah itu hanya mencukupi untuk 3 bulan sahaja”.
“Kehidupan di kampus dapat dirasai terlalu singkat kerana saya belajar secara bersemuka pada semester keenam dan semester kelapan saya sudah menjalani latihan industri di Akademi Neuro Linguistic Programming (NLP) Malaysia, di Shah Alam selama 5 bulan”, tambah Safwan.
Graduan yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik ini, juga turut bekerja sebagai pembuat kabinet dapur sambilan di Bukit Mahkota, Bangi pada waktu ketiadaan kelas dan cuti semester. Beliau akan pergi ke kelas seperti biasa dan menggunakan waktu malamnya untuk membuat tugasan dan sebagainya.
Menurut Safwan, beliau nak merasai kesusahan sepertimana yang orang lain rasa dan saya bersyukur kerana mampu menghadapi kesusahan itu”.
“Teruskanlah mengejar impian dan janganlah pernah mengalah kerana yang menunggu di hadapan pastinya adalah kejayaan dan harapan. Dugaan yang datang bukan untuk melemahkan malah membuatkan kita kenal apa erti tidak putus asa. Bukan disebabkan saya yang kuat tetapi doa ibu saya yang hebat”, ujar Safwan mengakhiri perbualan.
Siti Nurafiqah Azwan
StraComm Clique
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan