NILAI, 1 APRIL 2016 – Majlis Pelancaran Sistem i-Counseling dan KIOSC Job House baru-baru ini merupakan satu usaha Unit Psikologi Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM ke arah pembangunan kebolehpasaran graduan.

Menerusi kolaborasi antara Unit Psikologi Kaunseling dan Kerjaya dengan Pejabat Job House Sdn Bhd, pelajar boleh mendapatkan rundingan persediaan kerjaya seperti penyediaan resume dan temuduga.

KIOSC atau Karier IPT One Stop Center yang telah beroperasi sejak tahun 2013 membantu urusan penempatan kerjaya pelajar terutamanya pelajar tahun akhir melalui padanan data pelajar dengan bakal-bakal majikan.

“Melalui KIOSC, pendaftaran penempatan pekerjaan bukan sahaja mudah dilakukan malah ia memberi latihan dan bimbingan dalam menggerakkan program pembangunan kerjaya seperti Jom Rancang dan Jom Kerja dalam program Jelajah Fakulti  yang dijalankan secara berkala di semua fakulti di USIM,” ujar Encik Yazid @ Shamsuri Zainal Abidin, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif Job House Sdn. Bhd.

“Kita berharap semoga sasaran USIM untuk 2016 bagi mendapatkan 76% graduan USIM mendapat pekerjaan dalam masa 6 bulan selepas tamat pengajian akan berjaya termasuklah memenuhi 3 kriteria utama Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli iaitu Holistik, Seimbang dan Berkeusahawanan,” ucap Dato’ Musa Ahmad.

Pada majlis yang sama turut dilancarkan Sistem i-Counseling yang merupakan sistem tempahan temujanji kaunseling secara atas talian. Ia dibangunkan bagi memudahkan pelajar USIM membuat tempahan secara atas talian yang lebih bersifat mesra pelanggan dan mudah akses.

Hadir sama di majlis pelancaran adalah YBhg. Profesor Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Encik Sam Alias, Mantan CEO Job House Sdn, Timbalan Dekan Fakulti dan Pegawai Kanan Universiti.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204