SEOUL, 22 OKT 2015 – Seramai 23 orang mahasiswa tahun akhir Program Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terlibat dalam lawatan antarabangsa ke Korea.
Memilih ibu kota Korea Selatan iaitu Seoul sebagai destinasi musafir selama 5 hari 4 malam bermula 17 hingga 21 Oktober lalu, ia diketuai oleh saudara Muhammad Ramzi Bin Zolkiply selaku pengarah program dengan diiringi pensyarah kanan Program Pengajian Akidah dan Agama, Dr. Najib Sheikh Abdi Samad yang berasal dari Somalia.
Kembara Syahadah di Seoul, Korea Selatan ini membuka langkah pertama dengan menjejakkan kaki ke Ewha Woman Universiti yang memiliki seramai 25,000 orang mahasiswi dan memiliki 1000 fakulti di dalamnya. Universiti menjadi lokasi awal dikunjungi kerana ingin membina hubungan baik antara mahasiswa Program Pengajian Akidah dan Agama dengan mahasiswa/wi di Korea Selatan.
“Di Ewha Women University, kami saling bertukar-tukar sesi pengenalan dan latar belakang mengenai universiti masing-masing disamping mengedarkan risalah USIM ALAMIYYAH dan cendermata Universiti kepada mahasiswi yang kami temuai. Layanan yang diterima amat baik sekali”.
“Selain university, sekolah juga turut menjadi tumpuan kami. Pengalaman manis melakukan melakukan aktivti santai bersama anak-anak di Prince Sultan Islamic School, yang terletak di Bandar Itaewon amat diingati.Bandar tersebut merupakan bandar yang didiami oleh majoriti Muslim Korea walaupun hakikatnya Muslim Korea adalah minoriti di negara berkenaan”
“Aktiviti menyanyi, hafalan doa, soal jawab tuntutan agama seperti fardu ain dan kifayah merupakan pengisian kami di sekolah berkenaan. Anak-anak di situ fasih berbahasa Inggeris dan sangat aktif dalam semua aktiviti yang kami adakan” ujar Muhammad Ramzi Zolkiply.
Menurut Noor Syazana Abd Hamid, melalui pemerhatian mereka bahan rujukan Islam di Korea amat sukar didapati walaupun tiada sekatan dari Kerajaan. “Pertemuan rombongan ini dengan salah seorang rakyat Korea yang aktif menjadi pendakwah bebas di sana mengakui scenario ini iaitu masih kekurangan bahan-bahan rujukan agama Islam yang berbahasa Korea”
“Apa yang dilaksanakan pendakwah di sini ialah mereka perlu mendapatkan bahan agama dalam versi bahasa Inggeris dan kemudiannya diterjemah ke dalam Bahasa Korea pula. Penduduk Korea kebanyakannya adalah ‘free thinker’ manakala hedonisme (hiburan) merupakan kegilaan golongan muda. Berkumpul beramai-ramai di tepi jalan untuk menyanyi dan menari adalah norma anak muda dan diadakan tidak kira masa”.
“Lawatan ini selain bertujuan akademik, peserta juga sempat mencuri masa melihat pembangunan pesat ibukota Korea dan mengamati budaya masyarakatnya dengan lebih dekat. Kami berkesempatan menjejakkan kaki ke Namsan Tower. Dari atasnya, kami dapat melihat hampir keseluruhan Bandar Korea Selatan. Pembangunan mereka amat pesat dan maju”.
“Kami juga sempat melawat Istana Gyeongbokgung, Dataran Gwanghwamun & Melawati Muzium King Sejong serta Perkampungan Namsangol Hanok dan Nami Island” tambah Noor Syazana lagi.
Kesimpulannya, tamat Kembara Syahadah di Bumi Seoul, objektif utama yang direncanakan telah berjaya dicapai. Harapan mereka, lawatan ini memberi pendedahan dunia dakwah sebenar kepada pelajar Pengajian Akidah dan Agama dalam membawa syiar Islam dekat kepada semua umat.
Disediakan oleh:
Jawatankuasa Lawatan Antarabangsa,
Program Pengajian Akidah Dan Agama USIM
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204