SINTOK – Seramai 44 orang pelajar dari Program Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah membuktikan kemampuan luar biasa apabila memperlihatkan prestasi membanggakan dalam Simposium Apresiasi Skrin Nusantara (SASNUSA) 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Universiti Utara Malaysia (UUM), bermula 1 hingga 3 Julai 2025.
SASNUSA 2025, yang menghimpunkan penggiat industri, ahli akademik dan mahasiswa dari seluruh negara, merupakan platform berprestij yang mendedahkan peserta kepada dunia produksi filem, dokumentari, animasi, penyiaran dan teknologi skrin berasaskan budaya Nusantara. Program ini dianjurkan oleh Kelab Pencinta Filem P. Ramlee dan Saloma (KPPRS) dengan kerjasama Persatuan Dokumentari Nusantara Malaysia (DOCMAL), School of Creative Industry Management and Performing Arts (SCIMPA) UUM dan Inapan Siswa Bank Rakyat.
Pelajar Komunikasi Media Baharu USIM memainkan peranan menyeluruh sepanjang simposium, termasuk sebagai ahli jawatankuasa pelaksana dan teknikal, peserta seminar dan bengkel industri, serta pembentang dokumentari, PSA, muzik video dan filem pendek. Turut diadakan ialah lawatan akademik ke Muzium UUM dan SCIMPA sebagai sebahagian daripada pengisian ilmiah program.
Menurut Ketua Unit Penajaan, Abdul Khadir Jailani Abd Gani, penyertaan ini memberikan peluang besar kepada pelajar untuk memperluas pengetahuan dan membina keyakinan dalam dunia sebenar industri kreatif.
“Kami dapat belajar secara langsung daripada tokoh industri seperti Areel Abu Bakar dan Zaki Haji Abdul Rahim, selain mengasah kemahiran teknikal dalam pengarahan, penyuntingan dan komunikasi profesional,” katanya.
Pelajar USIM turut mengharumkan nama universiti apabila berjaya merangkul beberapa anugerah berprestij iaitu Anugerah Dokumentari Terbaik, Anugerah Penyunting Terbaik, Anugerah Pengarah Terbaik dan Anugerah Hos Dokumentari Terbaik (Khas DOCMAL)
Sermentara itu, Anuar Zulkifli, selaku pelaksana utama dari USIM, turut berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi sepanjang penganjuran program.
“Kami akui terdapat beberapa kelemahan seperti kekeliruan maklumat akibat kurang koordinasi, isu pengangkutan, serta kelewatan dalam kutipan yuran dan urusan tajaan. Namun kami anggap ia sebagai ruang pembelajaran untuk memperbaiki aspek komunikasi dan perancangan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, pengalaman menyertai program ini bukan sahaja memberikan pendedahan industri yang luas, malah membina semangat kerja berpasukan dan pengurusan projek dalam kalangan pelajar.
“Pihak kami juga amat berharap agar sesi kedua SASNUSA akan dapat dianjurkan di USIM, bagi membuka lebih banyak peluang kolaborasi dan penglibatan industri bersama warga kampus kami,” ujarnya.
SASNUSA 2025 sekali gus membuktikan bahawa dunia skrin bukan sekadar medan tontonan, tetapi ruang aksi sebenar buat generasi muda seperti pelajar Komunikasi Media Baharu USIM untuk bersinar dan menyumbang secara aktif dalam industri kreatif Nusantara.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Bin Che Mohd Zaini