NILAI,  29 SEPT 2016 – Seramai 23 orang mahasiswa dan seorang pegawai pengiring dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai Program Global Islamic Students Outreach (GISO) di Kepulauan Maldives iaitu di tiga buah pulau di Maldives iaitu Pulau Hulhumale, Pulau Males dan Pulau Villing hili bermula pada 1 September hingga 8 September 2016.

Bertemakan Kembara “ The Adventure that Open the Minds” ini di anjurkan oleh Sekretariat Perhubungan Pelajar (SPP) yang merupakan Perwakilan Mahasiswa dari  Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS). Kembara ini di iring oleh Dr. Kauthar binti Abdul Kadir yang juga merupakan pensyarah di fakulti tersebut.

Ia merupakan kesinambungan dari program pengantarabangsaan SPP sebelum ini iaitu Rehlah Ilmiah SPP, FPQS di bumi Sydney, Australia pada   20 hingga 27 Ogos dan Ekspedisi Kepimpinan Sekretariat Perhubungan Pelajar Fakulti Pengajian Quran & Sunnah ke Batam Indonesia pada 29 November hingga 2 Oktober 2012.

Program GISO ini di adakan untuk memfokuskan elemen khidmat masyarakat sebagai pengisian utama, GISO memberi peluang mahasiswa melaksanakan tugas sebagai pendakwah kepada masyarakat Islam seluruh dunia dan pemilihan Negara Maldives adalah sejajar dengan element yang di fokuskan .Antara objektif  utama  di Maldives adalah menjalinkan hubungan kerjasama mahasiswa dengan masyarakat dan mahasiswa di Maldives di samping memberi pendedahan yang meluas kepada pelajar berkaitan kebudayaan masyarakatan di negara Maldives dan memperkenalkan serta mempromosikan USIM di peringkat antarabangsa.

Menurut Pengerusi SPP Anas bin Azami , bersesuaian dengan moto SPP itu sendiri “Bina Sahsiah, Solusi Ummah ”, program seumpama ini adalah satu langkah proaktif dan kreatif SPP,FPQS  bagi melatih mahasiswa mengendalikan program pengantarabangsaan berskala besar seperti ini kerana ia adalah kemahiran yang tidak diajar secara khusus dalam kuliah.

Kembara ini juga memfokuskan element perkongsian ilmu secara dua hala dan khidmat komuniti  bersama masyarakat di sana. Antara perkongsian ilmu yang di kongsikan bersama masyarakat di sana adalah ilmu berkaitan dengan Pembelajaran Al-Quran Braille. Ilmu ini di kongsi bersama mahasiswa-mahasiswa dari  Maldives National University (MNU). Mahasiswa dari Maldives National University (MNU) juga belajaruntuk menulis menggunakan Pocket Braillie. Ilmu berkaitan pembelajaran Al-Quran Braille ini juga turut di kongsi bersama mahasiswa di Islamic University of Maldives (IUM), perkongsian ini juga melibatkan pensyarah dan dekan-dekan dari universiti tersebut yang begitu berminat dengan Pembelajaran Al-Quran Braille. Selain perkongsian ilmu berkaitan Pembelajaran Al-Quran Braille, perkongsian dua hala bersama mahasiswa dari Islamic University of Maldives(IUM) tentang perkongsian pembelajaran ilmu-ilmu berkaitan tentang quran dan sunnah di universiti masing-masing.

Di Maldives juga, peserta turut melawat rumah anak yatim Kudakudhing hiya di Pulau Hulhumale dan mengadakan aktiviti pertukaran bahasa serta  aktiviti melukis. Kanak-kanak di sana menyambut kedatangan mahasiswa dengan gembira. Mahasiswa SPP,FPQS juga memberikan sumbangan berupa makanan kepada kanak-kanak di sana kerana sumbangan berbentuk wang ringgit tidak diterima . Selain itu, aktiviti bersama kanak-kanak di Sekolah Tadika Maafanu Madrusa juga turut di lakukan iaitu bermain permainan tradisional kanak-kanak di Malaysia iaitu permainan “Ibu Ayam”, kebanyakkan kanak-kanak di situ sangat teruja bermain bermainan tersebut. Mahasiswa SPP,FPQS juga sempat berkongsi makanan tradisional dari Malaysia iaitu dodol dan sagu bersama kanak-kanak di Sekolah Tadika Maafanu Madrusa.

Di samping itu, peserta turut mengadakan lawatan ke Islamic Center yang  terletak di Masjid al- Sultan Muhammad Thakurufaanu Al-Auzam. Malah di situ juga terletak Kementerian Hal Ehwal Islam Maldives. Perkongsian bersama Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam, Mohamad Musthafa tentang hal ehwal islam di sana banyak membuka mata mahasiswa SPP,FPQS. Perkongsian tentang perlaksanaan teknik bacaan quran kepada golongan minoriti iaitu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan turut di kongsi oleh mahasiswa, Saudara Anas bin Azami tentang perbezaan pembelajaran di Malaysia dan Maldives. Di samping melawat Pusat Al-Quran yang juga di bawah naungan Islamic Center dan perkongsian dua hala bersama pelajar di sana tentang teknik hafalan yang biasa di amalkan di Malaysia  dan perbezaannya dengan hafazan di Maldives. Terdapat beberapa mahasiswa SPP,FPQS yang di  beri peluang untuk “menebuk” hafalan pelajar di sini. Kebanyakan pelajar di sana berumur antara 4 tahun hingga 18 tahun.

Khidmat komuniti kemasyarakatan juga merupakan aktiviti utama  yang dilakukan oleh mahasiswa SPP,FPQS, mahasiswa SPP,FPQS melakukan khidmat komuniti dengan membersihkan taman permainan kanak-kanak di kawasan Dhaarafagu dan kawasan pantai di Pulau Villinghili bersama penduduk setempat yang turut bersama menjayakan aktiviti tersebut. Malah mahasiswa SPP,FPQS juga sempat berkongsi tentang Seven Sunnah  bersama masyarakat di sekitar Masjid al- Sultan Muhammad Thakurufaanu Al-Auzam. masyarakat di situ menerima baik perkongsian daripada mahasiswa SPP,FPQS.

Pengalaman selama 8 hari di sana telah memberikan impak yang positif kepada mahasiswa khususnya dalam mempraktikkan pembelajaran di USIM dalam kehidupan seharian di sana khususnya penguasaan Bahasa Inggeris dan Arab serta keperluan menjaga syariat mengikut  masa, tempat dan keadaan malah kecaknaan mahasiswa terhadapan penguasaan Al-Quran kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga meningkat.

Disediakan oleh:

Mutii’ah Binti Abdullah, Timbalan Pengarah Program GISO Maldives

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204