NILAI – Seramai 10 staf Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) daripada enam jabatan tampil berentap dalam Sayembara SERUMPUN Suara Merdeka 2025 yang berlangsung di Ruknu Arabi, Perpustakaan USIM semalam, 10 September 2025.

Dengan mengangkat tema “Ekspresi Jiwa, Suara Merdeka”, program anjuran Pusat Kebudayaan dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendaftar dan Pusat Penerbit ini merupakan penganjuran julung kali khusus buat staf USIM. Ia juga menjadi sebahagian daripada Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat USIM 2025, sekali gus memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan warga universiti.

Pertandingan ini menjadi pentas untuk para peserta mempersembahkan puisi dengan penuh keberanian, kreativiti dan jiwa merdeka. Ia bukan sekadar platform menonjolkan bakat seni, malah wadah mengangkat ekspresi budaya serta menyemarakkan kecintaan terhadap tanah air.

Pengarah Pusat Kebudayaan, Encik Mohd Salehudin Sukor, dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan kepada semua warga USIM yang terlibat dalam sayembara yang menekankan semangat kebersamaan sebagai satu rumpun bangsa.

“Sayembara ini adalah kesinambungan daripada program Suara Rumpun Puisi Nasional (SERUMPUN) yang dianjurkan pada Mei lalu. Melalui SERUMPUN Suara Merdeka, kita memberi ruang kepada staf USIM pula untuk menyerlahkan bakat dan ekspresi seni budaya mereka dalam suasana penuh patriotik,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa penganjuran ini hanya dapat direalisasikan melalui sokongan padu pelbagai pihak, termasuk Perpustakaan USIM yang menyediakan fasiliti terbaik, Kelab Penerbitan Kreatif, Angkatan Seni Budaya serta barisan juri yang sentiasa komited dalam menjayakan pertandingan ini.

“Keberanian peserta tampil solo di pentas ini adalah satu perjuangan yang wajar dipuji. Semoga sayembara ini menjadi penyatuan kita dalam rumpun yang memberi manfaat kepada masyarakat, sebagaimana tema yang diangkat, Ekspresi Jiwa, Suara Merdeka,” tambah beliau.

Penganjuran SERUMPUN Suara Merdeka 2025 sekali lagi membuktikan komitmen USIM dalam memperkukuh seni, budaya dan patriotisme warga universiti. Hal ini seiring dengan pepatah Melayu “Serumpun bak serai, sesusun bak sirih” yang menjadi lambang kesepaduan dalam kepelbagaian.

Majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah akan disampaikan di Majlis Penutup Sambutan Bulan Kebangsaan pada 19 September ini.