NILAI, 5 Julai 2021 – Dalam menjayakan misi negara agar semua rakyat mendapat vaksin dengan kadar segera, pelbagai pihak berganding bahu untuk sama-sama memastikan misi ini tercapai. Tidak dinafikan ‘tulang belakang’ barisan hadapan dalam membantu melancarkan program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ini adalah para sukarelawan dari pelbagai latar belakang. Tidak menghiraukan risiko, dan kepenatan seharian bertugas di PPV ini, mereka kekal memberikan senyuman dan sebagai ‘pemudah cara’ kepada para penerima vaksin ini.

Seramai 80 sukarelawan dari USIM, 35 sukarelawan dari MyVac, 40 sukarelawan dari Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan 35 sukarelawan dari Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan RELA yang bertugas di PPV IPT Mega USIM ini.

Seronok menimba pengalaman baru dan dapat menyumbang tenaga kepada negara, ujar Nor Azliayana Izzati Shamsul, 23, salah seorang sukarelawan MyVac bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT Mega USIM.

Azliayana berkata, disebabkan program Tourism Management tiada Latihan Industri untuk semester akhir, beliau membuat keputusan untuk menyertai sukarelawan PPV ini sejak bulan Mei lalu di Majlis Bandaraya Seremban. Oleh kerana USIM telah buka PPV, beliau sertai disini kerana berdekatan dengan rumahnya. Pengurusan sukarelawan ini juga merupakan salah satu subjek yang dipelajari ketika pengajian di UMS.

Ismail Kassim,35 pula berkata, beliau sertai sukarelawan PPV dengan mendaftar di Jabatan Belia & Sukan Negeri Sembilan.

“Pada awal tahun lalu saya menghantar ibu ke PPV Seremban dan melihat sendiri proses PPV ketika itu di mana para jururawat seperti tidak cukup kakitangan untuk mengawal pendaftaran dalam masa yang sama bertugas di bilik suntikan. Dari situ saya terdetik untuk menyertai sukarelawan PPV ini kerana sumbangan tenaga yang mampu dilakukan ketika ini, lebih-lebih lagi aktiviti penerbangan yang kurang ketika pandemik ini melanda”, ujar Ismail yang merupakan salah seorang staf syarikat penerbangan.

Begitu juga bagi Kumala Dewie,40, yang bertugas di salah sebuah syarikat penerbangan terkemuka di Malaysia turut serta menyumbangkan tenaga melancarkan proses PPV di USIM. Dengan pengalaman berurusan dengan orang ketika bertugas sebelum ini, kerja sukarelawan ini diharapkan dapat membantu para penerima vaksin mengambil suntikan dengan cepat tanpa perlu menunggu lama.

Dalam pada itu, sejak hari pertama PPV IPT Mega USIM ini beroperasi, banyak pihak dari Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), Exco-exco Kerajaan Negeri tampil menghulurkan sumbangan berupa makanan, minuman dan pelitup muka kepada para sukarelawan ini.

Antaranya sumbangan dari YB Tuan Arul Kumar A/L Jambunathan Exco Kerajaan Negeri selaku (Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam), YB Nicole Tan Lee Koon, Exco Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan), Dato’ V. Saravanakumar Pengarah Syarikat Twin Venture Cap Sdn Bhd, McDonald Malaysia Nilai dan minuman Yakult Malaysia.

Pihak USIM sangat berbesar hati dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan ini.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan