NILAI, 7 Ogos 2020 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melaksanakan program sanitasi di enam buah lokasi serentak pada hari ini di beberapa lokasi sebagai salah-satu inisiatif memenuhi tanggungjawab sosial universiti kepada komuniti. Lokasi yang dipilih terdiri dari pusat pendidikan, rumah anak yatim dan surau yang terletak di Senawang dan Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Pelancaran dan pelepasan konvoi berkereta kakitangan USIM yang menjadi peserta dan sukarelawan Program Sanitasi Perdana USIM ke lokasi yang ditetapkan telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin di perkarangan lobi Bangunan Canselori pada Jumaat pagi.

Menurut Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan) USIM, Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin menyatakan program ini adalah selaras dengan Misi USIM 2022 untuk menjadi Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi di bawah Teras Strategik 3 iaitu libatsama masyarakat.

“Antara objektif Program Sanitasi Perdana ini adalah yang pertama merupakan satu bentuk program kepada komuniti universiti di Negeri Sembilan; keduanya sebagai satu inisiatif USIM untuk membantu proses pemulihan komuniti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP); ketiga sebagai tanda keprihatinan universiti menerusi sokongan material dan spiritual kepada komuniti yang terjejas; dan keempat bagi memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga USIM”.

“Seramai 60 orang kakitangan USIM terlibat dalam program pagi ini dan mereka dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi di enam lokasi terpilih iaitu Rumah Anak Yatim Walidaina, Senawang dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Sahabat Insani, Bandar Baru Nilai”

“Bakinya adalah empat buat surau yang terletak dalam kawasan taman perumahan berdekatan USIM iaitu Surau At-Taqwa Desa Anggerik; Surau Raudhah Al Mukhlisin Desa Jati; Surau Muhajirin Desa Kasia dan Surau Al Mahabbah Desa Indah”.

Kakitangan USIM yang terlibat dalam Program Sanitasi Perdana ini mewakili pelbagai jabatan, anggota pasukan beruniform dan persatuan kakitangan USIM seperti USIM Alamiyah, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, Pusat Sukan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Komunikasi Strategik, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM (PRAGMATIS), Kesatuan Kakitangan Sokongan USIM (KUSIMA), dan Persatuan Kakitangan Akademik (PKAUSIM).

Setiap daripada sukarelawan dibekalkan dengan alatan perlindungan diri (PPE), pelitup muka (face mask), pelindung muka (face shield) dan cecair sanitasi yang disediakan oleh Science and Technology Laboratory in a Box (FaST LaB), Fakulti Sains dan Teknologi USIM untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi. Kerja-kerja sanitasi dilaksanakan mengikut prosedur operasi SOP yang ditetapkan oleh Pusat Kesihatan Universiti bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan sentiasa dititik beratkan.

Tidak hanya melaksanakan kerja-kerja sanitasi, USIM juga turut menyerahkan sumbangan berupa lima kotak face mask dan lima botol cecair hand sanitiser berkapasiti 500ml di setiap lokasi.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan