NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan tradisi memartabatkan budaya ilmu melalui penganjuran Majlis Syarahan Umum Tuanku Canselor 2025 yang disampaikan oleh Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar, Pro-Canselor USIM dan tokoh terkemuka dalam sektor ekonomi, kewangan serta tadbir urus negara.

DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor USIM, diiringi YAM Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor USIM turut berangkat ke Majlis yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti; Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM; ahli LPU, pengurusan universiti, tetamu kehormat serta warga USIM.

Dalam syarahan bertemakan Kepimpinan Berasaskan Tujuan atau Leading With Purpose, Tan Sri Wahid berkongsi empat bahagian utama yang menggarap perjalanan peribadinya, kefahaman tentang kelestarian organisasi, pandangan terhadap masa depan kewangan Islam serta rangkuman prinsip-prinsip kepimpinan yang diyakininya.

Beliau berkongsi perjalanan kerjayanya sejak awal, termasuk pengalaman mengemudi beberapa institusi penting negara. Melalui kisah jatuh bangun, cabaran dan kejayaan, Tan Sri Wahid menekankan bahawa kekuatan seorang pemimpin lahir daripada pegangan nilai yang kukuh seperti integriti, amanah, disiplin dan kesungguhan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Tan Sri Wahid menegaskan bahawa sesebuah organisasi hanya mampu bertahan dan berkembang jika dipimpin oleh budaya kerja berintegriti, tadbir urus yang telus dan keberanian membuat keputusan yang sukar tetapi perlu. Beliau menyifatkan kelestarian bukan sekadar merancang masa depan, tetapi melibatkan kemampuan organisasi menyesuaikan diri, memperbaiki kelemahan dan membina daya tahan jangka panjang.

Beliau berpandangan bahawa penggunaan teknologi moden seperti digitalisasi dan analitik data mampu meningkatkan keberkesanan sektor kewangan Islam, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur global.

“Saya melihat sektor ini sebagai ruang pertumbuhan yang luas sekiranya terus diperkukuhkan dengan inovasi, pematuhan Syariah yang ketat serta pengembangan instrumen kewangan yang responsif terhadap keperluan semasa”, ujarnya.

“Pemimpin yang berjaya ialah mereka yang percaya kepada tujuan, berpegang pada integriti, kompetensi dan sifat rendah diri, serta tidak mencari jalan pintas dalam mencapai kejayaan. Seorang pemimpin juga perlu menjaga kelestarian, kesihatan dan keseimbangan hidup, di samping sentiasa bersyukur, membantu serta beradab kerana reputasi dan keberkatan datang daripada amanah yang ditunaikan dengan sebaik-baiknya,”tambah beliau.

Menutup syarahannya, Tan Sri Wahid menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memainkan peranan masing-masing dalam membina negara yang progresif dengan menghayati semangat Rukun Negara sebagai asas perpaduan dan kemajuan.

Majlis Syarahan Umum Tuanku Canselor 2025 yang dihadiri seramai lebih 1,500 hadirin ini sekali lagi mengukuhkan komitmen USIM dalam memperkasa budaya ilmu serta memupuk wacana kepimpinan strategik dalam kalangan warga universiti, seiring visi USIM sebagai sebuah universiti kontemporari yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli demi pembangunan modal insan negara.