NILAI, 23 September 2025 – Berbekalkan semangat dan harapan keluarga, Israt Jihan Umme, 20, tiba sendirian dari Dhaka, Bangladesh untuk mendaftar sebagai pelajar baharu program Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) Fakulti Sains dan Teknologi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi sesi akademik 2025/2026.
Israt, anak sulung daripada dua beradik, tiba di Malaysia pada 15 September lalu. Beliau merupakan harapan keluarga untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dan kini melakar langkah pertama dalam mengejar cita-cita akademiknya.
“Saya memilih USIM sebagai pilihan utama untuk menyambung pengajian dalam bidang Sains Komputer atas dorongan sepupu saya yang telah menamatkan pengajian di sini,” katanya penuh semangat.
Graduan dari Chapainawabganj Govt. Women’s College, Bangladesh itu turut menyatakan harapan agar dapat mencipta kejayaan yang membanggakan keluarga serta menjadi inspirasi kepada adiknya.
Israt merupakan salah seorang daripada 29 pelajar antarabangsa yang mendaftar masuk ke USIM pada hari ini. Dijangka seramai 2613 pelajar baharu akan mendaftar di USIM bermula hari ini sehingga esok di Dewan Tuanku Canselor.