PORT DICKSON – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus komited dalam melahirkan pegawai kadet yang berdaya tahan dan berkualiti menerusi pelaksanaan Ujian Kecergasan Tempur Komponen 4 (UKT 4) dan Latihan Renang dan Perapungan yang berlangsung di Kolam Renang Akademi Tentera Darat (ATD), Kem Segenting pada 25 Mei 2025.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 2 pegawai, 11 anggota tetap, 4 pegawai muda dan 139 pegawai kadet, diketuai oleh Mejar Noor Efendy bin Hj Samih, KJL, dengan kerjasama penuh 8 orang Jurulatih Jasmani ATD yang diketuai oleh Staf Sarjan Shafizan.
UKT 4 merupakan ujian penting yang bertujuan menilai tahap kecergasan serta mempertingkatkan kemahiran asas renang dan perapungan, terutamanya dalam aspek keupayaan fizikal dan daya tahan ketika berada dalam air. Aktiviti dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan dan penerangan latihan oleh jurulatih jasmani ATD, sebelum anggota tetap PALAPES USIM menjalani ujian perapungan selama 6 minit, diikuti latihan renang dan perapungan oleh para pegawai kadet.
Menurut Mej Noor Efendy, pelaksanaan latihan ini bukan sahaja menguji fizikal, tetapi turut membentuk kekuatan mental dan sahsiah kepimpinan dalam kalangan peserta.
“Latihan ini bukan sekadar mengajar mereka untuk berenang atau terapung di permukaan air. Ia adalah latihan disiplin, keyakinan dan semangat setiakawan. Kita mahu setiap pegawai kadet keluar dari air bukan hanya dengan basah, tetapi dengan semangat waja dan jati diri yang utuh,” jelas beliau.
Pelaksanaan ini selaras dengan Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat Ke-24 menerusi aspirasi Sahiah Keperwiraan (Warrior Ethos) — melahirkan pemimpin muda yang kompeten, yakin diri dan berintegriti tinggi sebagai role model. Ia juga menyokong hasrat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30 melalui Teras 1: Sumber Manusia – Cakna Etos Kepahlawanan, yang menekankan keperluan latihan menyeluruh meliputi fizikal, mental dan rohani untuk memperkasa daya tempur yang berimpak tinggi.
Dengan kejayaan pelaksanaan UKT 4 ini, PALAPES USIM terus melangkah gagah dalam membentuk barisan pegawai simpanan yang bukan sahaja cemerlang dalam medan latihan, tetapi juga bersedia menjadi pemimpin masa hadapan berteraskan nilai keperwiraan dan profesionalisme.
Oleh: Mej Noor Efendy bin Hj Samih