LANGKAWI, 18 Mei 2014 – Hasrat kerajaan berjaya direalisasikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Majlis Perasmian Geran Pemindahan Ilmu (KTP) apabila menjalin hubungan kerjasama dengan Hospital Langkawi melalui pendekatan libatsama komuniti.
Kerjasama yang terjalin memberi peluang kepada USIM untuk memperluaskan ilmu serta kepakaran kepada masyarakat terutamanya kumpulan sasaaran iaitu pesakit yang bukan sahaja di kawasan sekitar Nilai malah di luar kawasan Nilai juga.
Melalui jalinan kerjasama ini, USIM berperanan memberi bimbingan serta menyampaikan ilmu berkenaan rukhsah ibadah kepada Kakitangan Perubatan dan Kesihatan Hospital Langkawi. Ilmu tersebut seterusnya dipertanggungjawabkan kepada Kakitangan Hospital Langkawi untuk dilanjutkan kepada para pesakit untuk diamalkan bagi memudahkan pesakit melakukan ibadah dalam keadaan sakit.
Di majlis ini juga, USIM melancarkan Produk ICT Rukhsah Ibadah iaitu kesinambungan daripada produk DVD Panduan Rukhsah Ibadah yang telah mendapat pingat gangsa semasa pameran PECIPTA 2013.
Pelancaran Produk ICT Rukhsah Ibadah menampilkan ilmu berbentuk penerangan video serta panduan lengkap berkaitan cara menunaikan ibadah antaranya cara-cara mengambil wuduk dan menunaikan solat ketika sakit. Melalui aplikasi ini, pengguna dapat mengikut kaedah pengajaran dengan mudah difahami melalui cara penyampaian yang jelas dan teratur yang disampaikan oleh pelajar perubatan USIM.
Majlis diteruskan dengan Seminar Fiqh perubatan atas jemputan dari Hospital Langkawi yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Antara tajuk pembentangan adalah sakit dan hikmahnya, pendermaan organ dan autopsi dari perspektif Islam, perancang keluarga dan pengguguran janin dari perspektif Islam, aurat dalam perubatan, konsep patuh shariah dalam bidang kesihatan dan penjagaan pesakit tenat dan euthanasia dalam perspektif Islam.
Turut diadakan pada hari kedua adalah Bengkel Rukhsah Ibadah bertempat di Hospital Langkawi yang telah disertai lebih 40 orang kakitangan hospital dan Pejabat Kesihatan yang berpeluang mengikuti latihan praktikal bersama pesakit di wad hospital tersebut.
Kerjasama ini membuka satu ruang kepada USIM dan Hospital Langkawi mendapat manfaat secara bersama. USIM dengan kepakaran tersendiri berupaya mencipta jaringan kerjasama yang lebih luas supaya ilmunya dapat disebarkan dan terus bergerak kehadapan mengangkat USIM sebagai sebuah IPTA berteraskan pengajian Islam menjadi peneraju ilmu baharu yang menggunakan teknologi terkini bagi menghasilkan inovasi yang mampu mentransformasikan negara, membangun ummah dan manusia sejagat.
Disediakan oleh :
Syazlyna Jamil
Penolong Pendaftar StraComm