Perancangan kerjaya adalah suatu perkara penting yang perlu didedahkan kepada mahasiswa dan mahasiswi semenjak di awal pengajian supaya mereka jelas akan hala tuju kerjaya mereka kelak. Isu kebolehpasaran graduan yang hebat diperkatakan kini bukan sahaja memerlukan latihan menyeluruh untuk para pelajar tahun akhir sahaja, tetapi ia juga perlu diberi penekanan semenjak para pelajar mula memasuki alam universiti.

Menyedari hakikat itu, USIM melalui Unit Psikologi Kaunseling dan Kerjaya (UPKK) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti-universiti Awam Malaysia (MAKUMA) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program Seminar Perancangan Kerjaya Mahasiswa Peringkat Kebangsaan pada 22 januari yang lalu  bagi memberi pendedahan kepada para pelajar tahun 1 khususnya agar mereka dapat meneroka peluang-peluang dan prospek kerjaya yang bersesuaian dengan latar belakang, minat dan kemahiran yang mereka miliki. Ia merupakan program kali pertama diadakan seumpama ini yang menggabungkan pelajar-pelajar dari seluruh IPTA dan beberapa IPTS di dalam satu seminar.

Bertemakan slogan ”Kenal Diri, Rancang Kerjaya”, seminar ini disertai lebih 400 orang pelajar tahun satu dari seluruh IPTA dan beberapa IPTS di sekitar lembah kelang. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam.

Menurut beliau, isu kerjaya seringkali dikaitkan dengan mahasiswa/i tahun akhir dan agak sedikit kita dengar pendekatannya dilakukan seawal mungkin. Pendekatan yang banyak dilakukan seperti “finishing school” di universiti-universiti kadangkala menyebabkan penekanan kepada “starting school” agak kurang walaupun sebenarnya ia turut memainkan peranan dan memberi kesan kepada kehidupan sebagai  mahasiswa/i sesebuah universiti. Melalui program-program yang membantu “setting” minda yang berkesan sedari awal pengajian inilah mahasiswa/i akan lebih terfokus tentang matlamat dan halatuju masing-masing di dalam pengajian.

“Usaha seperti ini harus dipertingkatkan dan diteruskan supaya mahasiswa/i lebih berpeluang mencungkil bakat yang ada serta mendapat lebih pengalaman dan kemahiran berkaitan kerjaya dengan masa yang lebih lama, berbanding jika usaha ini hanya ditumpukan bersungguh-sungguh ketika mahasiswa/i akan menamatkan pengajian beberapa bulan lagi. Kesan dan impak perancangan kerjaya akan menjadi kurang berkesan apabila semuanya tertumpu di saat-saat akhir yang pada ketika itu mahasiswa/i juga tentunya lebih sibuk untuk menghabiskan tesis, menjalani latihan industri dan bersedia untuk peperiksaan akhir” tambahnya lagi.

Antara objektif seminar ini adalah untuk memberi kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan dan keperluan memperolehi kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum dalam menyediakan diri ke dunia kerjaya disamping memberi pemahaman yang jelas tentang prospek kerjaya berdasarkan bidang pengajian masing-masing. Selain daripada itu, ianya dapat membantu meningkatkan disiplin diri agar bersikap serius dalam bidang pengajian sepanjang berada di universiti serta menimbulkan minat dan menetapkan satu ”standard” bahawa pencapaian dalam bidang akademik dan kemahiran insaniah adalah penting untuk membolehkan para pelajar terpilih dalam proses temuduga dan memperolehi kerjaya yang diminta.

Dengan adanya program ”starting school” seumpama ini diharap ianya dapat membantu mereka dalam melaras minda terhadap pilihan kerjaya masa depan dan matlamat belajar yang jelas. Ini penting supaya mereka tidak terumbang-ambing dan dapat belajar dalam keadaan terancang dan bersemangat.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Seksyen Hubungan Media dan Publisiti
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa