Kuala Lumpur, 30 Mac 2011 – Pengajian jarak jauh, khususnya untuk program diploma dan ijazah tertiari dalam talian, merupakan pasaran yang berkembang pesat di peringkat global. Rantau Asia sahaja telah menyaksikan pertumbuhan pada kadar kira-kira 12% setahun sejak 10 tahun lalu dan tren ini dijangka berterusan memandangkan banyak negara sedang berusaha untuk meningkatkan pendaftaran di paras pasca-menengah.

Menerusi Projek Permulaan (EPP) 6 di bawah Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) Pendidikan yang telah memfokuskan kepada keperluan pengembangan Pendidikan Jarak Jauh Antarabangsa (International Distance Learning) telah menjadi titik tolak kepada penubuhan Malaysian Universities Online Gateway di mana program ini telah diberikan penjenamaan baru dengan nama Malaysian Education Online (MEDO).

Bagi mencapai ke arah usaha itu, Universiti Sains Islam malaysia (USIM) dan Asia e University (AeU) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini untuk penawaran program pasca-siswazah secara atas talian (online) menerusi gerbang MEDO.

Menurut Naib Canselor USIM, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, MEDO telah membuka peluang kepada IPTA terutama sekali USIM dengan satu kaedah alternatif dimana para pelajar boleh belajar secara online.

”Malaysian Education Online (MEDO) ini juga merupakan peluang kepada USIM untuk menembusi pasaran pendidikan tinggi peringkat antarabangsa yang semakin berkembang sekaligus memperkenalkan USIM di peringkat antarabangsa menerusi program-program pengajian yang ditawarkan secara kerjasama dengan AeU. Ianya juga akan menjadi salah satu sumber pendapatan baru kepada USIM”. Tambah beliau semasa berucap pada majlis tersebut.

Program-progam yang dikenalpasti oleh USIM untuk ditawarkan menerusi MEDO adalah Program Sarjana Pentadbiran Muamalat; Program Sarjana Bahasa Arab Komunikasi; Program Sarjana Undang-Undang Perbandingan; Diploma Siswazah & Sarjana Dalam Penyalahgunaan Dadah (SPADA); Program Sarjana & Doktor Falsafah Keselamatan dan Jaminan Maklumat; Program Sarjana & Doktor Falsafah Quran dan Sunnah dan Program Sarjana & Doktor Falsafah Dakwah dan Pengurusan Islam.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif AeU, Yang Berbahagia Professor Dato’ Dr. Ansary Ahmed mewakili universiti itu manakala USIM diwakili oleh Naib Canselor, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda. Turut hadir pada majlis tersebut Ahli Pengurusan Tertinggi USIM, Ahli Pengurusan Tertinggi Asia e University, Dekan-dekan dan Timbalan-timbalan Dekan.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Seksyen Hubungan Media dan Publisiti
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia

Tel: 06-798 8027