NILAI – Persatuan Pandu Puteri Klover Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita USIM telah menganjurkan Seminar Pemerkasaan Wanita: “Pilih Untuk Kuat, Usah Jadi Mangsa” bertempat di Pentas Ruknu Arabi, Aras 1, Perpustakaan USIM.

Program berdurasi dua jam itu telah disertai seramai 120 orang pelajar wanita yang terdiri daripada ahli Pandu Puteri Klover USIM serta pelajar wanita USIM. Penganjuran seminar ini bertujuan meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan diri, memahami bentuk-bentuk gangguan serta jenayah seksual, di samping memberi pendedahan terhadap langkah pencegahan bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa.

Slot pertama seminar bertajuk “Gangguan Seksual dan Kesan Psikologi” telah disampaikan oleh Puan Siti Nur Ain binti Md. Johari, Pegawai Psikologi dari Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau menjelaskan bahawa gangguan seksual merupakan perlakuan tidak diingini yang boleh memberi kesan mendalam terhadap mangsa serta berpotensi menjadi permulaan kepada jenayah yang lebih serius jika tidak ditangani dengan tegas.

Beliau turut menegaskan bahawa penguatkuasaan Akta Anti Gangguan Seksual 2022 membuktikan isu berkenaan dipandang serius di peringkat nasional dan memerlukan kesedaran serta kerjasama semua pihak dalam usaha pencegahan.

Slot kedua bertajuk “Di Sebalik Trauma: Kesan Psikologi Jenayah Seksual dan Pemulihannya” pula telah disampaikan oleh Puan Nur Farhana Sulaiman, Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM. Sesi ini memberi pendedahan mengenai kesan trauma terhadap emosi dan kesihatan mental mangsa, selain menekankan kepentingan sokongan sosial serta intervensi psikologi dalam proses pemulihan.

Program ini turut diserikan dengan demonstrasi silat mempertahankan diri oleh Persatuan Silat USIM yang memberi pendedahan asas teknik mempertahankan diri bagi menghadapi situasi kecemasan.

Majlis perasmian seminar telah disempurnakan oleh Datin Nur Azzah Momin, Ketua Pustakawan USIM merangkap Ketua Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita USIM. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pemerkasaan wanita perlu diterjemahkan melalui tindakan, keberanian dan keyakinan diri, bukan sekadar kesedaran semata-mata.

Penganjuran seminar ini diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran, keyakinan serta keupayaan pelajar wanita USIM dalam menjaga keselamatan diri, mempertahankan maruah dan hak mereka, sejajar dengan usaha berterusan universiti memperkukuh agenda pemerkasaan wanita di peringkat kampus.

Oleh: Muhammad Shahrul Naim Tokiman