ULU SEDILI – Penggunaan madu lebah dalam aspek penjagaan kesihatan sudah diamalkan sejak berkurun lama melalui pengambilannya sebagai makanan tambahan kepada tubuh dan ubat penawar dalam merawat penyakit tertentu. Ini kerana madu lebah mempunyai pelbagai khasiat yang memberi banyak manfaat kepada manusia dan dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran (Surah Al-Nahl : Ayat 68-69) dan pembuktian secara kajian saintifik.

Justeru, baru-baru ini rombongan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diketuai oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM yang turut disertai oleh YBhg. Profesor Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Madya Dr. Zaiton Hassan, Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi serta ahli rombongan lain telah melawat ladang lebah yang diusahakan oleh al-Qanaah Resources Sdn. Bhd di Hutan Simpan Ulu Sedili Tambahan, Johor.

Madu yang dihasilkan oleh spesis lebah Apis Meliffera ini daripada Pokok Acacia yang tumbuh melata di hutan simpan berkenaan mempunyai kualiti rasa dan khasiat yang tinggi, menjadikan permintaan terhadapnya amat yang luas di pasaran.

Melalui lawatan ini, rombongan USIM diberi pendedahan dan penerangan berkaitan proses penghasilan madu lebah secara terperinci oleh Pengurus Ladang malah diberi kesempatan melihat secara dekat lebah-lebah dan proses mengumpul madu lebah dari setiap sarangnya.

Selain madu, lebah juga menghasilkan royal jelly, bee pollen, propolis dan bahan-bahan yang mempunyai khasiat tersendiri yang berguna kepada manusia. Fakta yang jelas, kesemua bahan-bahan ini tidak dapat dihasilkan secara sintetik atau olahan kimia oleh makmal walaupun menggunakan teknologi terkini.

“Lebah-lebah ini amat aktif ‘bekerja’ pada waktu cerah dan akan terbang dalam lingkungan 3 km dari sarang masing-masing untuk mengumpul madu dari pokok Acacia. Setiap pokok Acacia pula mampu menghasilkan madu yang baik dalam tempoh 8 tahun dan selepas itu akan ditebang untuk menjamin kualiti madu yang dihasilkan” ulas pekerja di ladang berkenaan.

Melihat kepada potensi ini, USIM berhasrat untuk menerokai penyelidikan madu lebah terlebih dahulu sebelum mengkomersialkan hasil madu ini secara meluas.

“USIM mempunyai pakar dan kemudahan makmal penyelidikan yang lengkap untuk tujuan ini. Selain itu, bagi merealisasikan hasrat murni ini, lokasi sesuai bagi membangunkan ladang lebah ini juga telah dapat kita kenal pasti” jelas Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda.

Selain itu, pada program berasingan disebelah pagi, rombongan USIM telah diraikan oleh warga Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur Benut, Pontian Johor dalam Malis Jaringan Kerjasama USIM dengan sekolah berkenaan terutamanya dalam aspek peluang kepada para pelajarnya melanjutkan pengajian tinggi ke USIM selepas tamat SPM atau STAM nanti. Sekolah ini merupakan salah satu dari tiga buah sekolah agama di Johor yang mendapat status Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Oleh :
Mohd Zaini Othman
Jabatan Canselori

http://egaleri.usim.edu.my