Gemas, 13 Februari 2011 – Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah ungkapan yang dapat diterjemahkan susulan banjir yang melanda kawasan kediaman penduduk Taman Sg. Gemas, Gemas, Negeri Sembilan pada penghujung Januari yang lalu.

Prihatin terhadap kesulitan yang dialami, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diterajui oleh SISPA (Siswa Siswi Pertahanan Awam) dan Smart Team USIM dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan dan Majlis Daerah Tampin telah melancarkan Program Gerak Bakti USIM: Pasca Banjir Gemas bagi membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan tempat tinggal mereka.

Misi yang melibatkan seramai 100 orang pelajar dan Kakitangan yang terdiri daripada anggota SISPA dan Smart Team USIM itu bermula seawal jam 9 pagi dengan melakukan aktiviti-aktiviti pembersihan dari rumah ke rumah. Selain itu, program ini juga turut menyediakan kaunter pemeriksaan kesihatan secara percuma berikutan aduan penduduk setempat yang mengalami masalah kesihatan termasuklah batuk dan gatal-gatal badan.

Dalam pada itu, Adun Gemas YB. Dato’ Hajah Zainab Nasir turut turun padang untuk menyertai program terebut. Beliau berkata, mangsa-mangsa masih dalam keadaan trauma dengan kejadian tersebut kerana hampir 80 peratus harta benda mereka musnah dan sekaligus mencatatkan banjir terburuk selepas tahun 2006.

Tambah beliau lagi, “Saya amat terharu dan merakamkan jutaan terima kasih pada pihak USIM terutamanya anggota SISPA dan Smart Team USIM di  atas sumbangan dan bantuan yang diberikan”.

Kapten Bersekutu SISPA USIM, Dr. Shahrul Nizam Ahmad Zamzali berkata, “Program ini merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) USIM dan kami berharap ianya dapat meringankan beban para penduduk di sini yang sememangnya memerlukan bantuan pembersihan dan juga ubat-ubatan”.

“Badan suami akak habis merah-merah dan gatal-gatal lepas banjir ni berlaku. Akak sangat berterima kasih pada pihak USIM sebab sediakan kaunter kesihatan, nak pegi ke klinik dan hospital pun jauh”, ujar salah seorang penduduk yang sempat ditemuramah.

Menurut pengerusi penduduk Taman Sg. Mas, para penduduk terpaksa berhadapan dengan pelbagai penyakit dan bau yang kurang menyenangkan ekoran limpahan sisa kumbahan di sekitar kawasan tersebut dan kerugian dianggarkan sekitar RM25,000 bagi setiap unit kediaman.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Seksyen Hubungan Media dan Publisiti
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia