NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkukuh peranannya sebagai peneraju pendidikan Islam inklusif melalui penganjuran Program Pengukuhan Pendidikan Islam Kanak-Kanak Autisme: Ibrah Qurani & Sunnah di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM pada 25 Oktober 2025.
Program diserikan dengan keberangkatan Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor USIM, yang berkenan meninjau aktiviti anak-anak istimewa serta melancarkan Modul Siri Sahabat Si Cilik: Haiwan dalam al-Quran dan Hadis.
Yang Amat Mulia Tunku Zain dalam ucapannya berkata, program ini bukan sekadar usaha ilmiah, tetapi satu manifestasi kasih dan tanggungjawab terhadap golongan yang sering terpinggir daripada wacana utama pendidikan. Anak-anak autisme bukan sekadar penerima ilmu, tetapi juga guru kepada kita semua yang mengajar erti sabar, empati dan cinta tanpa syarat. Pendekatan yang diambil oleh USIM melalui integrasi wahyu dan sains moden ini membuktikan bahawa pendidikan Islam boleh diraikan dalam pelbagai bentuk, selagi ia berpaksikan rahmah dan hikmah.
“Beta amat menghargai kesungguhan para penyelidik dan warga USIM yang berusaha membangunkan modul pendidikan mesra autisme berasaskan nilai al-Quran dan Sunnah. Usaha ini bukan sahaja mendidik anak-anak istimewa, tetapi juga mendidik masyarakat untuk melihat mereka sebagai anugerah, bukan kekurangan. Beta berharap agar program seperti ini diperluas dan dijadikan contoh kepada universiti lain, supaya sinar kasih dan keilmuan Islam terus menyinari semua lapisan masyarakat tanpa mengira kemampuan, keupayaan atau perbezaan.”
Acara dimulakan dengan Jom Dhuha Anak Istimewa di Surau FPBU yang menampilkan pelbagai modul terapi seperti Terapi Ruqyah, Terapi Dhuha, Terapi Zikir dan Terapi Otak Kiri & Kanan. Modul ini dirangka bagi membantu keseimbangan emosi, spiritual dan kognitif anak-anak autisme melalui pendekatan berstruktur, menyeronokkan dan berempati.
Serentak itu, Forum “Tarbiyatul Aulad: OKU – Anugerah atau Musibah?” di Dewan Utama FPBU menghimpunkan ahli akademik dan pakar dalam bidang pendidikan Islam, psikologi dan kekeluargaan. Forum ini membuka wacana mengenai hak, potensi dan martabat anak-anak istimewa dari perspektif Islam, mengangkat mesej bahawa mereka sebahagian daripada komuniti Rahmatan lil ‘Alamin.
Sementara itu, Naib Canselor USIM, YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, dalam ucapannya menegaskan bahawa program seumpama ini mencerminkan tekad universiti untuk melahirkan pendekatan pendidikan Islam yang bukan sahaja berorientasikan akademik, tetapi juga menyelesaikan isu masyarakat dengan hikmah dan kasih.
“Fokus terhadap anak-anak autisme memperlihatkan komitmen penting bahawa ilmu Islam tidak terhenti pada ruang teori, tetapi diterjemahkan sebagai penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat sebenar, khususnya kelompok yang memerlukan perhatian dan kefahaman mendalam,” ujar beliau.
Tambah beliau, kejayaan pembangunan modul Siri Sahabat Si Cilik merupakan manifestasi keupayaan akademik USIM dalam mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli serta melahirkan penyelidikan berimpak tinggi yang menyantuni komuniti istimewa.
Modul hasil penyelidikan bersepadu oleh Dr. Maisarah Saidin bersama pasukan FPQS dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) ini dibangunkan bagi memperkenalkan pembelajaran Islam mesra autisme berasaskan nilai-nilai al-Quran dan Sunnah, dengan PLIMJI bertindak sebagai penasihat projek.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen USIM memperkasa dakwah dan pendidikan Islam yang menyantuni keperluan golongan istimewa agar mereka tidak terpinggir daripada ruang pembelajaran dan ibadah. Ia selaras dengan aspirasi Pendayaan Komuniti@UniMADANI serta Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) USIM yang menekankan keseimbangan antara ilmu, nilai dan empati sosial.
Program ini menghimpunkan lebih 150 peserta terdiri daripada ibu bapa, pendidik, komuniti OKU dan pelajar universiti. Ia merupakan inisiatif penyelidik Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) dengan pembiayaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), diselaraskan oleh Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLIMJI) USIM.
Selain menjadi platform pemerkasaan anak-anak autisme, program ini turut memperkukuh kolaborasi antara institusi pendidikan, pusat autisme, komuniti OKU dan agensi kerajaan — ke arah pembentukan masyarakat inklusif, prihatin dan berteraskan nilai-nilai Qurani dan Nabawi.







