NILAI, 25 Disember 2020 –  Tahun 2019 menyaksikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya mencapai lima bintang kategori Mature Universiti yang disertai oleh 86 IPT dalam Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Malaysia (SETARA) 2018/2019.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, peningkatan penarafan SETARA ini disebabkan oleh banyak faktor utama. Pertama, hasil usaha serius USIM   meningkatkan kualiti akademik dan PdP disemua fakulti dan pusat pengajian di sepanjang tahun 2018 dan 2019. Ini telah menyaksikan peningkatan hampir 100% program akademik yang ditawarkan oleh USIM telah berjaya memperolehi status akreditasi penuh (Full Accreditation) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Kedua, peningkatan kualiti akademik dan inisiatif meningkatkan kebolehpasaran graduan telah meningkatkan peratusan kebolehpasaran graduan USIM pada tahun 2019 iaitu 81% berbanding hanya 71% pada tahun 2018 turut menyumbang kepada peningkatan penilaian data SETARA”.

“Ketiga, hasil usaha dan kerjasama yang baik diberikan oleh semua fakulti dan pusat tanggungjawab berserta dengan penyelarasan yang baik oleh Pusat Jaminan Kualiti, Dasar dan Kecemerlangan Akademik (QAPEX), turut menyumbang kepada pengurusan dan kesempurnaan data yang dinilai”.

Beliau menambah lagi, ada beberapa aspek utama yang perlu penambahbaikan dan diberi perhatian. Antaranya, USIM perlu usaha yang berterusan dan berkesan untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti penyelidikan dan penerbitan. Ini penting untuk meningkatkan visibility dan impak USIM dalam dunia keilmuan diperingkat antarabangsa. Keduanya, USIM juga perlu berusaha lebih keras meningkatkan aktiviti pengkomersilan hasil penyelidikan untuk meningkatkan sumber pendapatan universiti dan tidak terlalu bergantung yuran pelajar. Ketiga, USIM perlu terus terus berusaha untuk meningkatkan enrolmen pelajar antarabangsa dalam semua program pengajian. Usaha ini penting untuk membuktikan kualiti program akademik USIM diterima dan diyakini oleh masyarakat antarabangsa.

Sesi 2018/2019 menyaksikan sebanyak 8 IPT mendapat penarafan enam bintang, 30 IPT mendapat penarafan lima bintang; (30) IPT empat bintang ; (15) IPT tiga bintang; (2) IPT dua bintang dan (1) IPT satu bintang. Manakala sebanyak 207 kolej swasta pula menyertai penarafan Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST) bagi sesi sama. 

Penarafan SETARA dinilai melalui 38 indikator yang merangkumi empat (4) fungsi teras utama iaitu umum (General), pengajaran dan pembelajaran (P&P) (Teaching and Learning), penyelidikan (Research) dan perkhidmatan (Services). Penilaian ini merangkumi tiga (3) kategori institusi iaitu: i. Mature University (penubuhan IPT 15 tahun ke atas); ii. Emerging University (penubuhan IPT 15 tahun atau kurang); dan iii. Kolej Universiti Swasta.

SETARA adalah salah satu sistem penarafan yang dibangunkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2007 untuk mengukur jaminan kualiti dan standard universiti dan kolej universiti di Malaysia berdasarkan autonomi, kualiti dan prestasi institusi.

Sistem ini telah dirangka untuk membantu universiti membina asas-asas yang kuat dalam tiga fungsi teras utama iaitu pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan melalui metriks dan metadologi penilaian yang telah ditetapkan. Setiap data institusi yang digunakan di dalam penilaian penarafan ini akan melalui proses verifikasi dan validasi melalui audit lapangan oleh juruaudit bebas yang dilantik oleh pihak KPT. 

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan