NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menampilkan kelainan dalam memartabatkan seni dakwah kontemporari dengan pelancaran “Asmaul Husna Bertaranum”, sebuah penerbitan kreatif yang menyatukan kemerduan taranum warisan Islam dan teknologi produksi digital terkini.

Diterbitkan oleh Pusat Kebudayaan USIM, karya berdurasi 4 minit 3 saat ini menghimpunkan keindahan 99 nama Allah SWT dalam irama Bayati dan Nahawand, disampaikan oleh barisan bakat unggul USIM seperti Intracksee, Ikon Seni USIM dan USIM Influencer. Gubahan pula merupakan hasil sentuhan istimewa Ustaz Muhammad Husaini Mahmur, Qari tersohor dan alumni USIM yang kini Jurulatih Seni Budaya, bersama komposer Hisyam El Harith.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Encik Mohd Salehudin Sukor, penerbitan ini merupakan satu pendekatan dakwah yang segar dan relevan, menyatukan estetika seni suara dengan penyampaian mesej tauhid yang mendalam.

“Karya ini mengambil masa hampir tiga bulan bermula dari sesi perbincangan, gubahan, rakaman, sehinggalah ke proses mixing dan penyuntingan akhir. Ia merupakan cetusan idea asal Profesor Ts. Dr. Sharifuddin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, yang mahukan satu karya dakwah digital berkualiti tinggi dihasilkan sepenuhnya oleh warga USIM sebagai simbol keterlihatan universiti Islam bersepadu,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, “Asmaul Husna Bertaranum bukan sekadar persembahan seni, tetapi juga satu usaha memperkukuh identiti USIM sebagai peneraju kandungan Islamik digital. Ia bakal menjadi rujukan bermanfaat untuk sekolah, institusi agama, program komuniti, malah platform rasmi universiti.”

Pelancaran rasmi video ini bersempena Sambutan 25 Tahun USIM telah menerima reaksi positif yang memperlihatkan potensi besar karya dakwah tempatan menembusi sempadan global.

Antara objektif utama penerbitan ini termasuk memperkasa misi Integrasi Ilmu melalui gabungan ilmu naqli dan aqli dalam bentuk seni kontemporari, serta menyumbang kepada ekosistem dakwah digital Islamik yang lebih canggih dan dipercayai.

Karya penuh Asmaul Husna Bertaranum kini boleh ditonton melalui saluran rasmi platform youtube Pusat Kebudayaan USIM Leads TV di pautan https://youtu.be/6YUsUijL6XU.