NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh hubungan strategik antara dunia akademia dan industri dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Antbees, sebuah syarikat teknologi tempatan yang terlibat aktif dalam bidang analitik data dan transformasi digital.

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 5, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani. Turut hadir ialah wakil pengurusan kanan Antbees serta pensyarah dan pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin, kerjasama ini menandakan satu lagi langkah penting ke arah membangunkan pelajar USIM agar bersedia dengan kemahiran digital dan analitik yang semakin menjadi keperluan dalam pasaran kerja.

“Kerjasama strategik ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan satu langkah bermakna ke arah memperkukuh hubungan antara dunia akademia dan industri. Hasrat kita di USIM ialah memastikan setiap graduan bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu dan nilai, tetapi juga memiliki kemahiran teknologi dan data yang relevan dengan keperluan semasa,” katanya.

Sebelum pemeteraian MoU ini, USIM dan Antbees telah melaksanakan Program Persijilan Data Sains Fundamental yang berlangsung dari 13 hingga 15 Mei 2026, diikuti peperiksaan pada 1 Jun 2026. Seramai 30 pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (FST) telah menyertai program berasaskan modul Data Visualisation dan Data Analytics menggunakan Excel dan Power BI, yang dijalankan sepenuhnya dalam talian melalui platform Zoom.

Lebih membanggakan, program tersebut ditawarkan secara percuma oleh pihak Antbees sebagai bentuk komitmen dan sokongan terhadap pembangunan kemahiran digital pelajar USIM.

Majlis pada hari ini turut diserikan dengan penyampaian sijil kepada para pelajar yang berjaya menamatkan kursus dan lulus peperiksaan tersebut, sebagai pengiktirafan atas usaha dan pencapaian mereka.

“Saya amat menghargai kesudian dan komitmen Antbees untuk berganding bahu bersama USIM dalam membangunkan bakat dan potensi pelajar. Saya yakin dengan kepakaran industri yang dimiliki Antbees serta kekuatan akademik USIM, kita mampu melahirkan graduan yang lebih berdaya saing dan mampu menyumbang kepada ekonomi digital negara,” ujar beliau lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Fakulti Sains dan Teknologi (FST) yang menjadi peneraju utama kepada inisiatif ini, serta berharap kerjasama tersebut dapat diperluas kepada bidang lain seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan (cloud computing) dan analitik perniagaan (business analytics).

“Semoga MoU ini menjadi asas kukuh kepada jalinan kerjasama yang lebih luas dan berterusan demi manfaat bersama, khususnya dalam membangunkan modal insan holistik, seimbang dan berdaya saing selaras dengan visi USIM sebagai universiti yang memimpin integrasi Naqli dan Aqli dalam mendepani masa depan pendidikan tinggi,” tambah beliau.