KUALA LUMPUR , 6 MEI 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus melebarkan kerjasama dengan rakan strategik melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bagi program pensijilan USIM-BIMB.
Ia bertujuan melatih dan mengukuhkan kemahiran kakitangan BIMB khususnya di dalam bidang bahasa Inggeris, kompetensi dan kemahiran ICT. Program pensijilan ini adalah merupakan inisiatif daripada Bahagian Sumber Manusia BIMB, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM).
Pengarah Urusan BIMB, Dato’ Seri Zukri Samad di dalam ucapannya berharap agar peserta program ini dapat mencabar diri serta mengoptimumkan sebaiknya program ini bagi meningkatkan kemahiran seterusnya menyumbang kepada pembangunan organisasi.
Menurut Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad program ini merupakan satu titik permulaan hubungan USIM dengan industri khususnya dalam bidang latihan. Ini juga adalah permulaan yang baik di antara USIM dan BIMB untuk terus meneroka kursus berbentuk pembelajaran sepanjang hayat (Life Long Learning) dengan BIMB yang merupakan industri pelopor dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.
Memorandum ini ditandatangani di Menara Bank Islam dalam satu Majlis yang dinamakan Harnessing Talent to Achieve Excellence anjuran Bahagian Sumber Manusia BIMB. Turut hadir sama Prof. Madya Dr. Awangku Abdul Rahman Awangku Yussuf Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Pengkomersialan (PHIP).
Disediakan oleh:
Mohd Saifullah Zulkapli
Pegawai Khas Naib Canselor