MAKASSAR, 16 JAN 2015 – Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) gembira dan berpuas hati dengan program lawatan akademik dan pengantarabangsaan pelajar selama enam hari ke Makassar, Indonesia bermula pada 11 Januari lepas yang dianjurkan oleh pelajar tahun 4 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK). Seramai 46 orang pelajar tahun 4 dan 5 mengikuti program lawatan kali ini bersama pensyarah pengiring termasuklah Pengarah Pusat Pembangunan Hospital USIM.

Dalam menjalin hubungan baik antara USIM, Universitas Muhammadiyah (UnisMuh)  dan Universitas Hasanuddin (UnHas), satu perbincangan tertutup dengan pengurusan tertinggi kedua-dua buah universiti telah diadakan untuk mengukuhkan dan meneruskan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia pada masa akan datang. Sementara itu, para pelajar berpeluang melawat sekitar kawasan Universitas tersebut bagi meninjau kemudahan dan fasiliti perubatan antaranya pejabat fakulti, dewan kuliah, muzium anatomi, bilik diseksi, makmal komputer dan bilik kelab dan persatuan pelajar.

“Makassar yang terkenal sebagai pusat kajian ilmu Islam pada masa dahulu menjadi lokasi pilihan untuk mendedahkan pelajar dengan sistem kurikulum yang berbeza diamalkan di UnisMuh dan UnHas. Turut menjadi tarikan adalah keupayaan Universitas tersebut melatih bakal-bakal doktor melalui program Ijazah Doctor of Medicine (MD) di Fakultas Kedokteran yang sealiran dengan pelajar FPSK USIM,” ucap satu kenyataan.

Selain itu, lawatan ke Fakultas Kedoktoran UnHas membawa delegasi ke hospital universiti tersebut iaitu Rumah Sakit Universitas Hasanuddin (RS UnHas). Dalam menggalakkan perkongsian idea, pelajar kedua-dua universiti saling bertukar pandangan mengenai rukhsah bersuci dan kemudahan solat untuk pesakit. Di sini, USIM berpeluang berkongsi hasil dapatan kajian rukhsah ibadah yang telah dijalankan di USIM. Menarik untuk dikongsikan adalah sesi forum antara wakil pelajar perubatan USIM dan wakil pelajar perubatan Malaysia di UnHas yang menyentuh isu hala tuju perubatan dalam Islam serta pembentukan identiti doktor Muslim yang mantap dan holistik bagi sebagai persediaan pelajar berhadapan dengan dunia pekerjaan akan datang.

Lawatan rumah ke rumah turut dijalankan yang menyajikan aktiviti ceramah kesihatan oleh pelajar perubatan USIM dan pemeriksaan kesihatan  seperti ujian tekanan darah menggunakan sphygmomanometer serta pemberian sumbangan berupa keperluan makanan dan keperluan dapur untuk meringankan beban masyarakat desa di sana. Lawatan ke Pusat Kesihatan Masyarakat (PUSKESMAS) telah memperkenalkan pelajar dengan sistem khidmat masyarakat di Makassar yang menekankan aspek pencegahan, promosi dan rehabilitasi (Prevention, Promotion and Rehabilitation) yang tidak banyak bezanya dengan Malaysia selain mereka mempunyai perkhidmatan lawatan oleh pegawai perubatan ke rumah penduduk sekiranya diperlukan.

Diharapkan agar hubungan dua hala yang terjalin antara pihak USIM dengan UnisMuh dan UnHas bakal mewujudkan satu persefahaman positif dalam memartabatkan ilmu perubatan di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswa/i USIM dengan universiti berkenaan.

Disediakan oleh :

Syazlyna Jamil

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204