SEREMBAN – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Galeri Diraja Tuanku Ja’afar (GDTJ) hari ini menandatangani Perjanjian Pemilikan Bersama Harta Intelek hasil projek pertandingan mereka bentuk batik motif Bunga Lado. Majlis bersejarah itu berlangsung di Dewan GDTJ, Seremban.
Perjanjian tersebut dimeterai oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM dan Puan Nur Amira Mohamad Zin, Penolong Kurator GDTJ yang turut disaksikan oleh Profesor Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Profesor Madya Dr. Nurul Syala Abdul Latip, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB).
Motif Bunga Lado turut sinonim dengan identiti budaya Negeri Sembilan yang berakar daripada warisan Minangkabau. Diilhamkan daripada tumbuhan lada hutan yang banyak ditemui di kawasan tersebut, corak ini bukan sahaja menjadi elemen hiasan dalam batik dan tenunan, malah melambangkan kekuatan, keanggunan serta jati diri masyarakat Negeri Sembilan yang kaya dengan nilai adat dan tradisi.
“USIM sentiasa komited untuk memastikan warisan seni tempatan terus berkembang melalui pendekatan kreatif dan lestari. Perjanjian ini melambangkan usaha bersama dalam memperkasa industri kreatif negara, serta membuka ruang penglibatan lebih luas kepada pelajar dan generasi muda untuk menjadi pewaris budaya bangsa,” ujar Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM.
Perjanjian ini bukan sekadar dokumen formal, sebaliknya mencerminkan kesepakatan antara institusi pendidikan tinggi dan entiti budaya diraja. Ia diyakini dapat menjadi pemangkin pembangunan industri kreatif tempatan di samping menyemai kesedaran mengenai kepentingan perlindungan harta intelek dalam era ekonomi digital.
Melalui inisiatif ini, USIM dan GDTJ yakin bahawa seni batik akan terus relevan serta memberi inspirasi bukan sahaja kepada masyarakat tempatan, malah di peringkat global.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani