NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa dalam bidang pendidikan dengan menerima kunjungan hormat Bupati Luwu Timur, Ir. H. Irwan Bachri Syam, ST, IPM, bersama delegasi Pemerintah Kabupaten Luwu Timur dan Universitas Muslim Indonesia (UMI), Makassar, Indonesia.

Lawatan rasmi selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Julai 2025 ini bertujuan meneroka potensi kerjasama pendidikan tiga hala antara USIM, UMI dan institusi pendidikan di bawah pentadbiran Luwu Timur. Fokus utama lawatan ini adalah untuk membangunkan model Sekolah Unggulan Serantau yang mengintegrasikan pendidikan Islam dengan kecemerlangan akademik.

Delegasi Luwu Timur yang turut disertai oleh Dr. Ani Nurbani, Dr. H. Ramadan Pirade dan Dr. Irfan, telah mengadakan lawatan ke Kolej PERMATA Insan (KPI), USIM, bagi meninjau pendekatan pengajaran berteraskan ilmu naqli dan aqli serta turut menyertai sesi libat urus kurikulum, persembahan pelajar serta lawatan ke fasiliti KPI seperti makmal, perpustakaan, asrama dan galeri.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, menyifatkan lawatan ini sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuh kedudukan USIM sebagai peneraju pendidikan Islam global.

“Kerjasama ini membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik antara Malaysia dan Indonesia khususnya dalam pembangunan sekolah pelajar pintar. USIM amat mengalu-alukan inisiatif mewujudkan model Sekolah Unggulan yang berteraskan nilai Islam, kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar. Kami percaya usaha ini mampu memberi impak besar bukan sahaja kepada kedua-dua institusi, malah kepada rantau Nusantara secara menyeluruh,” ujar beliau.

Inisiatif Sekolah Unggulan ini selaras dengan komitmen USIM dalam memperkasa pendidikan Islam kontemporari menerusi pendekatan holistik yang merentas sempadan negara. Ia turut membuka ruang kepada pertukaran idea, pembangunan tenaga pengajar, serta latihan pendidikan yang mampu melahirkan pelajar berjiwa rabbani dan bersedia mendepani cabaran abad ke-21.

Perbincangan lanjut antara ketiga-tiga pihak turut melibatkan aspek digitalisasi pendidikan, penyelidikan bersama, serta pemerkasaan bakat muda melalui program mobiliti akademik dua hala.

USIM optimis bahawa kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada pendidikan Islam yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.

 

Oleh: Sara Aisya Mohd Shamsul Shahrizan