NILAI, 5 MEI 2014 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus meneroka hubungan baru dengan rakan strategik dikalangan industri melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Mas Awana Services Sdn Bhd yang berlansung di Ibu Pejabat Mas Awana yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi Business Park pada hari ini.
Syarikat Mas Awana Services Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 1996 merupakan salah sebuah anak syarikat di bawah Malaysia Airlines yang pakar dalam penyediaan dan pengendalian makanan dan minuman untuk pelbagai jenis majlis. Selain kepakarannya dalam servis kulinari dan terdiri daripada chef-chef profesional, Syarikat ini juga telah mendapat piawaian Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Developement Corporation (HDC) serta mematuhi standard keselamatan dan kesihatan makanan antarabangsa iaitu Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP).
Antara bidang dan skop kerjasama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak melalui MoU ini adalah program latihan bersama melibatkan kakitangan dan pelajar, penerokaan projek-projek penyelidikan dan pembangunan khususnya berkaitan makanan dan perkongsian kepakaran akademik.
Perjanjian ini telah ditandangani oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM dan pihak Mas Awana yang diwakili oleh Pengurus Besar Mas Awana Services Sdn Bhd, YBhg. Tuan Haji Mohammad Shafi’an Kamal Ghazali.
Pada masa kini, seramai tiga orang pelajar jurusan Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM telah diberi peluang oleh Mas Awana untuk menjalani Latihan Industri di sana selama enam bulan.
Naib Canselor dalam ucapannya melihat industri makanan halal dan pasaran bagi produk halal berkembang begitu pesat dengan kemampuan menjana pulangan mencecah bilion ringgit selari dengan keprihatinan dan kepekaan masyarakat berkaitan halal yang semakin tinggi
“Kerjasama seterusnya dapat kita kembangkan lagi melalui penglibatan Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM). IHRAM merupakan pusat kecemerlangan penyelidikan yang ditubuhkan khas oleh USIM untuk meningkatkan strategi, pembangunan profesional, penyelidikan dan perkhidmatan terutamanya dalam aspek halal”.
“Industri halal ini tidak boleh hanya diterajui oleh organisasi tertentu sahaja dan USIM amat serius untuk bersama-sama membangunkan perkara ini. Baru-baru ini juga kita telah mengadakan MoU bersama pihak-pihak yang berkaitan dengan industri halal seperti HDC dan TPM Biotech Sdh. Bhd ”, jelas beliau.
Turut hadir pada majlis tersebut, YBhg. Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad (Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa) dan YBhg. Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi) USIM.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (STRACOMM)
Universiti Sains Islam Malaysia