NILAI, 17 September 2013 – Bagi menjadikan Malaysia sebagai hab Pengajian Tinggi Islam yang unggul di dunia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini menerajui usaha perkongsian pintar berkaitan pengajian agama di peringkat antarabangsa terutama di rantau Asia Tenggara dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Turut hadir pada Majlis itu Naib Canselor USIM, YBhg. Prof Dato’ Dr Asma Ismail dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, YBhg. Prof Dato’ Dr Musa Ahmad.
Menurut YBhg. Prof. Dato’ Dr Asma Ismail, Naib Canselor USIM, kepercayaan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia YB Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin terhadap USIM untuk menerajui konsortium ini amatlah dihargai. “Kerjasama erat antara institusi yang menawarkan program akademik dalam bidang pengajian Islam kini digarap dengan lebih komprehensif di bawah naungan satu konsortium,”katanya lagi.
Usaha itu dilaksanakan melalui penubuhan Konsortium Institusi Pengajian Tinggi Islam bagi Kualiti Akademik dan Penyelidikan Lanjutan dikenali sebagai i-IQRA yang menjadi medium percambahan idea di kalangan institusi yang menawarkan program akademik dalam bidang pengajian Islam.
Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Prof Dato’ Seri Ir. Dr Zaini Ujang berkata, penubuhan konsortium itu memberi manfaat besar dalam bidang perkembangan pengajian Islam kepada semua institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan selain lebih 240 IPT negara OIC.
“Penubuhan konsortium itu akan menjadi landasan memperkasakan perkongsian pintar dalam aktiviti penyelidikan berkonsepkan kelas global di kalangan IPT serantau dan negara OIC.
“Malah, i-IQRA dapat digerakkan untuk mengaktifkan aktiviti bersama rakan strategik luar yang kebanyakannya bertumpu di negara ASEAN, Asia Tengah dan Timur Tengah,” katanya dalam ucapan dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi YBhg. Prof Dato’ Dr Morshidi Sirat pada majlis perasmian i-IQRA di USIM, di sini, semalam.
Menurutnya, konsortium itu juga membolehkan satu direktori kepakaran Islam peringkat kebangsaan dan antarabangsa diwujudkan.
Katanya, antara aktiviti utama i-IQRA ialah program berbentuk akademik termasuk pertukaran kakitangan dan pelajar, penyelidikan, penerbitan jurnal ilmiah peringkat antarabangsa serta penjanaan kewangan melalui wakaf, perundingan dan perkhidmatan.
YBhg Naib Canselor USIM dalam ucapannya turut berkata, beliau amat berharap Konsortium i-IQRA’ ini akan menjadi medium utama kepada Institusi Pengajian Tinggi Islam menyuarakan pandangan serta bergerak seiring dan berjalan sejajar dalam menjayakan aspirasi dan objektif penubuhannya.
Dipetik dari Harian Metro
Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus (Media StraComm)