ISTANBUL – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menyerlah di persada antarabangsa apabila menerima perhatian dan pengiktirafan daripada YB Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sempena penyertaannya sebagai penyampai keynote di Eurasia Higher Education Summit (EURIE) 2025 di Istanbul, Turkiye baru-baru ini pada 7-10 April 2025.
Kehadiran YB Menteri KPT ke reruai Malaysia yang dikendalikan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) telah menjadi detik bersejarah buat USIM apabila beliau meluangkan masa mengunjungi reruai USIM dan diberi taklimat mengenai penglibatan serta pencapaian universiti sepanjang berlangsungnya EURIE 2025.
Dalam kunjungan tersebut, YB Menteri KPT menyatakan rasa bangga terhadap keterlihatan aktif USIM di EURIE 2025 yang berjaya menarik minat pelbagai institusi pendidikan tinggi dari Turkiye, dan Eropah untuk meneroka kerjasama strategik. Menurut beliau, penglibatan aktif USIM menunjukkan komitmen tinggi universiti dalam mendokong agenda pengantarabangsaan yang menjadi fokus KPT dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara.
Selain itu, kesungguhan dan semangat beliau untuk terus bersama-sama USIM dan universiti awam/swasta lain juga sepanjang EURIE 2025 terserlah apabila beliau tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama delegasi Malaysia menganjurkan “Malaysian Hour” di mana kesemua delegasi EURIE 2025 dijemput hadir menikmati juadah hari raya di Pavillion Malaysia.
Delegasi USIM yang diketuai oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa USIM Alamiyyah, Dr Sofia Hayati Yusoff, turut memanfaatkan platform EURIE 2025 dengan mengadakan 14 siri pertemuan dan rundingan strategik dengan institusi seperti Istanbul University, Marmara University dan Uskudar University. Kerjasama yang diteroka melibatkan aspek mobiliti pelajar dan staf, geran penyelidikan bersama, serta penerbitan akademik berimpak tinggi di bawah program Erasmus+.
Selain itu, USIM turut memperkenalkan program akademik unik yang mengintegrasikan pendidikan Islam dengan teknologi moden, serta inisiatif komuniti global dalam memupuk pemahaman antara agama dan budaya, sejajar dengan nilai-nilai Islam yang inklusif dan rahmah.
Keterlibatan USIM dalam EURIE 2025 merupakan manifestasi kepada komitmen universiti dalam merealisasikan sasaran pengantarabangsaan seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik USIM 2022–2025. Dengan sokongan berterusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, USIM yakin untuk memperluas jalinan global yang bukan sahaja meningkatkan reputasi universiti, malah memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pendidikan Islam kontemporari bertaraf dunia.
Oleh: Dr Sofia Hayati Yusoff