Seremban, 2 Oktober 2009 – Pusat Pengembangan Akademik USIM telah menganjurkan Bengkel Kursus Indek Petunjuk Prestasi Utama dan Balanced Scorecard(BSC) pada 2 hingga 4 Oktober 2009 bertempat di Klana Resort, Seremban Negeri Sembilan.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang terdiri dari Encik Megat Akbaruddin Megat Ismail, Pengarah Pengurusan Amalan Terbaik MPC, Encik Daud Talib dan Encik Rosmi Abdullah. Seramai 25 peserta yang terdiri dari Pegawai Kanan USIM telah menyertai bengkel ini.

Bengkel ini menekankan tentang perlunya kepada penelitian yang lebih fokus dalam menghadapi era globalisasi yang menjadikan pengurusan organisasi masa kini lebih mencabar. Justeru itu perlunya satu pengukuran prestasi yang lebih seimbang untuk memastikan organisasi terus relevan dan berdaya saing.

Balanced Scorecard (BSC) pula adalah satu sistem pengurusan yang sistematik dan komprehensif yang mengintegrasi pengukuran prestasi berpandukan strategi, operasi dan kewangan. Para peserta didedahkan dengan konsep visi, misi dan strategi BSC.

Antara objektif bengkel ini adalah untuk membina pengukuran prestasi organisasi. Di samping itu memahami keberkesanan dan membolehkan peserta menggunakan BSC sebagai fungsi kawalan pengurusan dalam organisasi yang berkesan.

Oleh : Siti Maizatul Akmar Ismail
pwartawan@usim.edu.my

Tel : 06-7988025/8026/8027/8028