Kuala Lumpur, 12 Februari 2010 – “Kalah dalam sesuatu perjuangan bukan bermakna kita gagal, tetapi kita belum menang”, ungkap Saudari Ummu Umairah Azahari, pelajar tahun 4 jurusan Syariah dan Undang-Undang selaku pendebat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Berjaya menyandang Naib Johan dalam Pertandingan Debat Kefahaman Islam antara Institusi Pengajian Tinggi kali ke-7 anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), pasukan pendebat USIM akur dengan keputusan juri dan meletakkan ia sebagai cabaran untuk maju di masa hadapan. USIM telah menyandang Naib johan selama tiga tahun berturut-turut termasuk pada kali ini.
Menurut Saudara Mohd Ikhwan Mohd Rosseli, walaupun hanya berjaya mendapat naib johan, ianya tidak mematahkan semangat untuk terus berusaha dan menerima dengan hati yang terbuka.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjuarai pertandingan ini dan berjaya membawa pulang RM 15,000, Geran berjumlah RM 10,000 untuk Kelab Debat, buku-buku terbitan IKIM, Piala Pusingan dan sijil penyertaan. Manakala para pendebat USIM menerima RM 10,000, buku-buku terbitan IKIM dan sijil penyertaan.
USIM membariskan empat pendebat utama iaitu Ummu Umairah Azahari, Mohd Ikhwan Mohd Rosseli, Mohammad Azri Naim Mohd Kamal dan Mohd Ridhuwan Remly. Selaku pihak pencadang, USIM berhujah diatas tajuk “ Daya Cipta Dipupuk Bukan Semulajadi”. Berlandaskan hujah-hujah, pasukan pendebat USIM membuat rumusan bahawa daya cipta perlu dipupuk, dibudayakan dan diterapkan untuk menghasilkan satu inovasi yang kreatif. Manakala selaku pihak pembangkang, UIAM tegar mencantas segala hujah-hujah pendebat USIM dan berpegang teguh kepada prinsip bahawa daya cipta adalah ilmu yang dianugerahkan dan datang secara semulajadi.
Pertandingan Debat Kefahaman Islam antara Institusi Pengajian Tinggi kali ke-7 bermula pada 8 hingga 12 Februari 2010 bertempat di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur. Sebanyak 16 buah Institusi Pengajian Tinggi yang menyertai pertandingan ini seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPGKPI) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Debat Kefahaman Islam diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman semua pihak berkaitan Islam, memberi peluang pelajar yang menuntut di IPT di negara ini menzahirkan pendapat, pandangan dan hujah mengenai isu yang berkait dengan hal ehwal Islam dan meninjau serta menganalisis sejauh mana kemampuan penuntut IPT dalam memperkatakan hal yang berkaiatn dunia dan perihal Islam.
Turut hadir, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda. Menurut beliau, walaupun pasukan pendebat USIM hanya meraih naib johan, mereka telah berhujah dengan baik dan berharap pada masa hadapan mereka akan mencuba dan berusaha dengan lebih kuat.
Hadiah telah disampaikan oleh YABhg. Tun Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi, Pengerusi IKIM. Beliau berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan dapat meningkatkan kefahaman tentang agama di kalangan mahasiswa/i.
Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028