NILAI, 27 Julai 2021  – Seramai 555 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berada di kampus terlibat dengan Program Pergerakan Pulang Pelajar sempena cuti semester, sesi akademik 2020/2021 bermula hari ini. Pergerakan pulang pelajar ini adalah berdasarkan kepada Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertarikh 9 Julai 2021.

Daripada jumlah tersebut, USIM akan menguruskan penghantaran pulang seramai 305 orang pelajar menggunakan kenderaan yang disediakan oleh pihak universiti. Penghantaran pelajar ini akan dilaksanakan secara berperingkat, iaitu sebanyak tiga (3) fasa melibatkan 11 buah negeri.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani “satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan bagi memastikan kelancaran operasi ini. Penghantaran pelajar ini akan mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan para pelajar tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat”.

Fasa kedua pergerakan pulang pelajar pula akan dilaksanakan pada 17 Ogos 2021, manakala Fasa ketiga akan dilaksanakan pada 25 Ogos 2021. Ianya dilaksanakan secara berperingkat memandangkan terdapat para pelajar yang masih menduduki peperiksaan akhir semester. Manakala, bagi pelajar yang tidak pulang menggunakan kenderaan universiti, hanya akan dibenarkan untuk pulang menggunakan kenderaan sendiri dan pergerakan menggunakan kenderaan awam adalah tidak dibenarkan kecuali bagi perkhidmatan penerbangan.

Semua pelajar ini diwajibkan mendaftar maklumat mereka secara dalam talian (online) yang disediakan dan turut diberikan Surat Kebenaran Rentas Daerah/Negeri daripada pihak Universiti sebagai rujukan kepada pihak berkuasa.

Walaubagaimanapun, terdapat juga pelajar yang memilih untuk terus berada di kampus semasa cuti semester dan pihak universiti akan memastikan kebajikan dan keselamatan mereka diberikan perhatian.

Pihak USIM ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas keperihatinan dan kebenaran bagi penghantaran pergerakan pulang para pelajar.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan