NILAI – IDEAS Autism Centre dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) telah menganjurkan Sambutan Hari Kemerdekaan Ideas Autism Centre pada 28 Ogos 2025 bertempat di Dewan Utama Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM sebentar tadi.

Tunku Pro-Canselor USIM, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz berkenan berangkat ke program tersebut. Keberangkatan Yang Amat Mulia Tunku Pro-Canselor USIM telah menyerikan majlis ini dan secara tidak langsung mencerminkan sokongan padu pimpinan universiti terhadap agenda inklusiviti serta usaha memperkasa komuniti OKU.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata USIM sentiasa bertekad untuk menyokong inisiatif yang bersifat inklusif dan memandang tinggi usaha murni memperkasa komuniti OKU khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembangunan bakat dan aktiviti kemasyarakatan.

“USIM amat mengiktiraf peranan NGO seperti Ideas Autism Centre yang menjadi penggerak utama dalam menyantuni anak-anak istimewa ini. Justeru, kerjasama erat di antara USIM dan NGO sentiasa diperkukuh melalui perkongsian kepakaran akademik, penglibatan sukarelawan mahasiswa, program kesedaran masyarakat serta sokongan sumber yang mampu memperkasa komuniti sasaran,” ujar beliau.

Majlis ini turut menyaksikan Pelancaran Buku Model Pengajaran dan Pembelajaran Quran Bagi OKU yang telah dilancarkan oleh Tunku Pro-Canselor USIM, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz. Buku tersebut merupakan hasil penyelidikan Geran Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP) daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Pembangunan model ini telah dibangunkan oleh kumpulan penyelidik yang terdiri daripada USIM, Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

IDEAS Autism Centre (IAC) ditubuhkan pada tahun 2012 di Rawang, Selangor, oleh Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Berhad. IDEAS menyediakan rawatan pemulihan bagi mereka yang memerlukan, dan pada masa yang sama menjalankan penyelidikan serta mengembangkan model perusahaan sosial lestari yang dapat dicontohi bagi membantu kanak-kanak autism.

 

 

Oleh: Khairunnisa Ismail