NILAI, 24 April – YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM menyampaikan berita gembira buat warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) khususnya para pelajar apabila Universiti akan menikmati capaian internet yang lebih pantas melalui projek khas pembangunan jalur lebar IPTA.

Projek hasil inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi menyasarkan untuk menaik taraf dan melengkapkan kemudahan jalur lebar IPTA kepada minimum  1Gbps secara berperingkat-peringkat dan USIM telah dipilih untuk menjadi IPTA Perintis kepada usaha ini.

“Diharapkan bila sahaja jalur lebar internet USIM ditingkatkan kepada 1Gbps, USIM boleh merancang untuk menggunakan teknologi ‘Cloud Computing’ bagi beberapa perkhidmatan bersesuaian seperti Portal ePembelajaran GOALS, Portal Permohonan Perjawatan Eiris, Portal Berita, WebTV USIM Online, Portal iFMS INFAD dan sebagainya” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan ICT USIM 2013 di Galeri Canselori.

Turut hadir dalam majlis anjuran bersama Pusat Teknologi Maklumat dan Pusat Komounikasi Strategik (StraComm) ini adalah Timbalan-Timbalan Naib Canselor, barisan Pengurusan Universiti dan kakitangan.

Menurutnya lagi, melalui Majlis Pelancaran Perkhidmatan ICT USIM ini, YBhg. Naib Canselor menekankan bagi membolehkan sesebuah jentera pentadbiran dan P&P bergerak pantas dan berkesan, penyediaan infrastruktur ICT yang lengkap dan terkini amat penting. Justeru, USIM telah mengambil perhatian perkara ini sejak awal penubuhannya lagi.

“Sebagai sebuah universiti yang kini mempunyai seramai 1352 orang kakitangan dan 9779 orang pelajar dengan tawaran 68 program pengajian dan perkhidmatan, ICT merupakan enabler dalam sistem penyampaian USIM” katanya lagi.

Dalam pada itu, sebanyak enam produk perkhidmatan ICT USIM telah dilancarkan beliau iaitu Portal Rasmi USIM, Portal eStudent, Portal eStaf, peningkatan jalur lebar internet 120mbps, naik taraf server dan storan Sistem Maklumat Universiti.

Pada majlis ini juga, YBhg Naib Canselor menyampaikan 391 set notebook/komputer berserta pencetak laser kepada setiap ahli akademik. Peruntukan khas oleh Pengurusan Universiti untuk pemberiaan alatan ini bertujuan memudahkan mereka menjalankan kerja-kerja penyediaan bahan pengajaran dan juga penyelidikan masing-masing.

YBhg. Naib Canselor diakhir majlis turut mengambil kesempatan melawat booth pameran yang disediakan oleh urusetia.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)