NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh hubungan strategik dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Pembangunan Doktrin Tentera Darat Siri 1/2025, yang dianjurkan oleh Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD) pada 13 Oktober 2025.
Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori USIM ini telah dipengerusikan oleh Mejar Jeneral Datuk Marzuki bin Hj. Mokhtar, Panglima Latihan Tentera Darat. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan Tentera Darat serta wakil Jabatan Arah dan Markas Formasi yang terlibat dalam pembangunan doktrin ketenteraan negara.
Mesyuarat ini bertujuan membincangkan dan membentangkan laporan terkini pembangunan manual doktrin Tentera Darat, menyelaras pembangunan manual tajaan Jabatan Arah dan Markas Formasi, serta meneliti keperluan kajian semula terhadap manual yang telah melebihi tempoh lima tahun. Selain itu, mesyuarat turut menekankan aspek pemantauan agar pembangunan manual baharu dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan serta selaras dengan keperluan semasa pertahanan negara.
Penganjuran mesyuarat ini di USIM bukan sahaja menyediakan suasana kondusif untuk urusan rasmi MK PLDTD, malah turut mencerminkan sokongan padu USIM terhadap usaha memperkukuh latihan dan pembangunan doktrin ketenteraan di Malaysia.
Langkah ini sejajar dengan aspirasi USIM untuk terus menjadi rakan strategik agensi keselamatan dan pertahanan negara, khususnya melalui penyediaan fasiliti, perkongsian ilmu, serta pelaksanaan kerjasama dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Oleh: Media PALAPES USIM