SEPANG – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan pelajar menerusi pelaksanaan Makmal Pengurusan Nilai (Value Management Lab – VM Lab) berhubung Cadangan Pembangunan Kolej Kediaman Pelajar USIM melalui kaedah Built-Lease-Maintain-Transfer Hybrid (BLMT-Hybrid).
Makmal yang berlangsung selama lima hari menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Ekonomi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Kewangan Malaysia, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, pihak berkuasa tempatan serta wakil kontraktor MCS Management Sdn. Bhd.
Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sesi makmal ini, yang menjadi platform penting bagi memperhalusi cadangan pembangunan projek secara komprehensif dan berdaya maju.
Menurut beliau, projek pembangunan kolej kediaman baharu ini bakal menempatkan seramai 5,000 pelajar, sekali gus menjadi antara inisiatif strategik universiti dalam menangani isu kekangan kapasiti penginapan.
Ketika ini, jumlah keseluruhan pelajar USIM telah mencecah 14,486 orang, namun hanya 5,358 pelajar dapat ditempatkan di kolej kediaman sedia ada. Kapasiti semasa yang hanya sekitar 37 peratus daripada jumlah enrolmen masih jauh daripada sasaran 70 peratus yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa situasi tersebut menjadi asas utama kepada penerokaan model pembangunan alternatif yang lebih mampan dan berimpak tinggi melalui pendekatan BLMT-Hybrid, selaras dengan amalan kerjasama awam-swasta yang lebih efisien.
Projek ini sebenarnya telah melalui proses perancangan yang panjang sejak tahun 2011, dengan pelbagai cabaran dan kekangan yang dihadapi sepanjang tempoh tersebut. Pelaksanaan VM Lab ini menandakan perkembangan signifikan ke arah merealisasikan pembinaan kolej kediaman baharu yang telah lama dinantikan warga universiti.
USIM berharap projek ini dapat dilaksanakan mengikut tempoh kontrak yang ditetapkan, malah berpotensi disiapkan lebih awal daripada jangkaan demi memastikan kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan institusi.
Majlis Menandatangani Laporan Makmal Kajian Nilai yang dijadualkan pada 13 Februari 2026 dijangka menjadi titik permulaan penting kepada kelancaran keseluruhan proses pembangunan kolej kediaman tersebut.
Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan USIM dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyokong agenda pembangunan pendidikan tinggi negara secara mampan.


