NILAI, 17 Julai 2020 – Covid19 telah mengakibatkan pembelian dan penggunaan PPE (Personal Protective Equipment) seperti penutup muka meningkat secara mendadak di kalangan orang awam di seluruh dunia termasuk Malaysia. Walaubagaimanapun, peningkatan pembuangan PPE terpakai oleh orang awam amat membimbangkan kerana tidak mengikut cara pembuangan yang selamat seperti yang telah disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ia dilihat dibuang secara merata-rata.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil langkah terkehadapan dengan mengadakan pra-pelancaran Kempen #USIMJagaSemua: Program Kesedaran dan Pendidikan Impak Pembuangan Penutup Muka secara Berkesan. Kempen ini akan berlangsung selama 18 bulan iaitu sehingga bulan Disember 2020. Dijangkakan sebanyak 100 buah tong sampah akan diedarkan kepada semua Pusat Tanggungjawab sekitar kampus USIM di Nilai dan Pandan Indah.

Naib Canselor Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, USIM bertindak proaktif dengan mewujudkan satu pasukan PPE Disposal Taskforce USIM dengan mengambil inisiatif untuk melihat kepada salah satu isu pasca COVID-19 yang terkesan secara global iaitu pembuangan PPE terpakai daripada sumber orang awam. Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada PPE  Disposal Taskforce USIM di bawah naungan YBhg. Profesor Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan diketuai oleh Dr. Nuruliza Roslan, Timbalan Pengarah Institut Sains Islam serta kumpulan penyelidik dari pelbagai bidang yang merangkumi bidang kesihatan, alam sekitar, perundangan, ekonomi dan juga Fiqh.

Beliau menambah lagi, kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan dan impak pembuangan PPE yang betul perlu diamalkan dan diambil cakna oleh semua lapisan masyarakat. Inisiatif yang dijalankan melalui pendekatan secara glokal bermula dengan cadangan untuk menyediakan tong sampah berasingan bagi pembuangan penutup muka terpakai. Kempen #USIMjagasemua: Program Kesedaran Dan Pendidikan Impak Pembuangan Penutup Muka Secara Berkesan ini diharap mampu memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan kepada masyarakat bermula daripada warga USIM sebagai perintis untuk mengamalkan pengurusan PPE terpakai yang betul.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)