NILAI, 22 April 2021 – Dalam usaha universiti untuk meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mensasarkan membawa masuk lebih ramai pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di Kampus Barakah ini, dengan melancarkan program USIM Get Student Scheme atau dikenali sebagai U-Guest.

Melalui skim ini, insentif sebanyak RM1000 akan diberikan kepada staf, pelajar semasa dan alumni yang berjaya mendaftarkan pelajar antarabangsa ke USIM.

Kempen U-Guest ini telah pun diperkenalkan di universiti luar di dalam mahupun luar negara. Ini merupakan program yang pertama kali diperkenalkan di USIM, dan mendapat sokongan daripada pihak pengurusan tertinggi bagi meningkatkan fungsi pengurusan dan pentadbiran urusan di bawah portfolio Akademik dan Antarabangsa.

Menurut Prof Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin, Penolong Naib Canselor (Strategik dan Pengantarabangsaan) strategi ini diwujudkan selaras dengan hasrat USIM untuk mencapai misi USIM 2022 untuk menjadi Universiti Sains Islam Berimpak Tinggi.

Jelasnya lagi, salah satu sasaran tahunan dalam amanat Naib Canselor 2021 adalah meningkatkan jumlah pelajar antarabangsa, di mana kemasukan pelajar antarabangsa dapat meningkatkan “branding and awareness” USIM di peringkat global.

“Justeru, besarlah harapan saya agar Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP) dapat memberi penekanan kepada aspek seperti proses urusan kemasukan yang lebih efiisen, dasar dan polisi kemasukan serta  kebajikan pelajar antarabangsa  dan juga penggayaan pengalaman pelajar sepanjang berada di Malaysia”, ujar Prof Yahya.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan