NILAI – Impian menjejakkan kaki ke menara gading tersohor, Universiti Al-Azhar Al-Sharif di Mesir, semakin hampir menjadi kenyataan bagi 74 pelajar cemerlang yang telah memulakan Kursus Intensif Bahasa Arab di Institut Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kursus yang bermula pada 13 April 2025 ini merupakan sebahagian daripada program persediaan akademik bagi kohort perdana pelajar yang bakal melanjutkan pengajian mereka ke institusi pengajian Islam tertua dan berprestij di dunia.

Menariknya, program ini dijalankan sepenuhnya secara dalam talian, sekali gus membolehkan pelajar dari pelbagai lokasi mengikuti sesi pembelajaran tanpa kekangan geografi. Tempoh kursus intensif ini bergantung kepada tahap penguasaan bahasa Arab setiap pelajar berdasarkan keputusan Imtihan Tahdid Mustawa. Secara keseluruhannya, program ini mempunyai enam tahap pembelajaran, dengan setiap tahap memerlukan tempoh sebulan untuk diselesaikan.

Menurut Pengarah Institut Pengajian Bahasa Arab USIM, Dr. Hj. Sulaiman Ismail, pelaksanaan kursus ini adalah manifestasi kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan Universiti Al-Azhar Al-Sharif yang disalurkan melalui USIM.

“Pelajar yang mendapat keputusan pada tahap Mutawassit Thani (tahap 4) akan mengikuti kursus selama tiga bulan, manakala pelajar di tahap Mutaqaddim Awwal (tahap 5) perlu mengikuti kursus selama dua bulan, dan pelajar di tahap Mutaqaddim Thani (tahap 1) hanya perlu melengkapkan kursus selama sebulan sahaja sebelum mereka layak dihantar ke Universiti Al-Azhar Al-Sharif, Mesir”.

Ujarnya lagi, berdasarkan keputusan Imtihan Tahdid Mustawa Bil.1/2025 yang dilaksanakan pada 24 Mac lalu di dua pusat peperiksaan utama iaitu Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM (pantai barat) dan Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang (pantai timur), kesemua pelajar telah ditempatkan mengikut tahap penguasaan bahasa Arab seperti Mutawassit Thani (Tahap 4) seramai 30 orang; Mutaqaddim Awwal (Tahap 5) seramai 24 orang; dan Mutaqaddim Thani (Tahap 6) seramai 20 orang.

“Pencapaian membanggakan ini membuktikan bahawa kesemua peserta program telah mencapai tahap pertengahan dan lanjutan dalam penguasaan bahasa Arab, selaras dengan keperluan akademik di peringkat antarabangsa”, tambah Dr. Sulaiman.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani turut menyatakan komitmen tinggi universiti untuk memperkasa Institut Pengajian Bahasa Arab sebagai pusat rujukan kebangsaan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab.

“Institut ini bukan sahaja berperanan dalam menyediakan pelajar ke Al-Azhar, tetapi juga sebagai peneraju dalam pembangunan kurikulum bahasa Arab moden yang relevan dengan keperluan semasa. USIM komited untuk menjadikan Institut ini sebagai pusat kecemerlangan yang mampu melahirkan pakar-pakar bahasa dan pendidik yang mampu berkhidmat di peringkat serantau dan antarabangsa.”

Kursus intensif ini berlangsung selama sebulan bagi setiap tahap, dan merangkumi modul pembelajaran yang komprehensif meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Arab akademik serta kontemporari.

Ini adalah langkah penting dalam membina generasi ulama dan cendekiawan Malaysia yang berwibawa. Penguasaan bahasa Arab yang mantap bukan sahaja memudahkan proses pembelajaran di Al-Azhar, malah membuka laluan kepada peluang kerjaya dalam bidang diplomatik, pendidikan dan hubungan antarabangsa

Kerjasama antara USIM dan Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar dalam pelaksanaan ujian penentuan tahap turut memberi kemudahan logistik kepada pelajar di seluruh negara, sekaligus memperkasa pendekatan pendidikan inklusif dan holistik.