SRI ISKANDAR, 11 Julai 2025 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara Liga Bola Sepak IPT 2025 Divisyen 3, selepas menewaskan UiTM Kelantan dengan keputusan meyakinkan 2-0 dalam aksi final yang berlangsung penuh sengit di UiTM Sri Iskandar, Cawangan Perak, semalam.
Pasukan USIM tampil cemerlang sepanjang kejohanan, melangkah ke peringkat akhir tanpa sebarang kekalahan sejak peringkat kumpulan yang turut disertai 13 pasukan yang lain. Mereka mempamerkan disiplin tinggi dan ketajaman taktikal yang membolehkan mereka menundukkan beberapa pencabar utama dalam perjalanan menuju kejuaraan.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi detik manis buat pasukan, malah mengukuhkan nama USIM sebagai antara kuasa baharu yang semakin menyerlah dalam arena bola sepak institusi pengajian tinggi negara.
Lebih membanggakan, kejayaan bersejarah ini diraikan bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun USIM, sekaligus menjadi hadiah istimewa buat seluruh warga universiti. Turut mencuri tumpuan ialah penjaga gol USIM, Mohamad Aiman Arif Mazlan, yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir atas aksi cemerlangnya mengemudi benteng pertahanan pasukan.
Kemenangan ini melayakkan USIM untuk naik ke Divisyen 2 pada musim 2026, di samping mencipta sejarah baharu apabila layak menyertai Kejohanan Piala Menteri yang dijadualkan berlangsung pada Oktober nanti.
Ketua jurulatih dan seluruh barisan pemain menerima pujian atas semangat juang kental dan dedikasi tinggi yang ditunjukkan sepanjang kejohanan, hasil persiapan rapi sejak awal musim.
USIM kini bersedia untuk menggalas cabaran lebih besar, dengan tekad untuk mengekalkan momentum kejayaan dan terus melahirkan bakat muda dalam sukan bola sepak.
Tahniah USIM! Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian gemilang di masa hadapan.
Oleh: Muhammad Shahrul Naim Bin Mohd Tokiman