NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus komited memperkasakan budaya kerja cemerlang dalam kalangan warga kampus menerusi penganjuran Kursus Duta Ho-Ren-So, anjuran Jabatan Pendaftar melalui Seksyen Latihan dan Pembangunan Sumber Manusia. Seramai 20 orang staf yang terpilih telah dilantik sebagai Duta Ho-Ren-So USIM bagi membawa aspirasi komunikasi berkesan dalam organisasi.
Kursus ini dilaksanakan bertujuan memperkukuh penghayatan dan pembudayaan Nilai-Nilai Teras USIM selari dengan konsep Ho-Ren-So yang diinspirasikan daripada budaya kerja Jepun yang menggabungkan tiga elemen penting iaitu Houkoku (melapor), Renraku (memaklum) dan Soudan (berbincang). Ia dilihat sebagai formula berkesan dalam membina organisasi yang proaktif, berdaya saing dan harmoni.
Menurut Ketua Seksyen Latihan, Puan Sharifah Norabidzah Nurul Aida Syed Saaid, pelaksanaan kursus ini selari dengan ilham Naib Canselor USIM yang memperkenalkan gagasan Ho-Ren-So sebagai salah satu pendekatan berstruktur dalam menyemarakkan Nilai-Nilai Teras al-Qawiyy al-Amin.
“Penghayatan terhadap Ho-Ren-So dapat memperkukuh keberkesanan komunikasi dalaman, membina kepercayaan antara staf dan mewujudkan jaringan hubungan (kizuna) yang erat serta menyumbang kepada kemajuan institusi secara kolektif,” ujarnya.
Program dua hari yang berlangsung pada 19 dan 20 Mei 2025 di Bilik Seminar Ibnu Mas‘ud, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) ini diisi dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti simulasi komunikasi, bengkel peranan duta, serta perbincangan isu komunikasi organisasi. Peserta juga didedahkan kepada strategi peningkatan kecekapan kerja dan kepimpinan komunikasi yang relevan dalam ekosistem pentadbiran universiti.
Menariknya, program ini turut diselaraskan bersama Jelajah Daerah Negeri Sembilan (JDNS) 2025, Siri 1 yang dianjurkan oleh HRD Corp Negeri Sembilan. Jelajah ini menampilkan lebih 60 buah syarikat dan penyedia latihan dalam pameran kerjaya serta program pembangunan profesional yang memberi nilai tambah kepada para peserta kursus. Perkongsian lintas sektor ini membuka ruang kerjasama baharu dan peluang jaringan strategik antara USIM dan agensi luar.
Dengan pelaksanaan kursus ini, USIM menyasarkan agar Duta Ho-Ren-So bukan sahaja menjadi pemangkin kepada komunikasi yang lebih inklusif dan berkesan, tetapi juga sebagai duta nilai-nilai murni yang mampu menyemai budaya kerja positif dalam kalangan seluruh warga universiti.
Oleh: Sharifah Abidzah