NILAI – Penyediaan kolej kediaman yang selesa, selamat dan berdaya huni terus menjadi antara keutamaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam memastikan kesejahteraan serta kualiti kehidupan kampus pelajar berada pada tahap terbaik.
Keutamaan tersebut dilihat selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang menekankan pembangunan ekosistem pembelajaran menyeluruh, termasuk aspek fizikal dan persekitaran sokongan dalam sektor Pendidikan Tinggi.
USIM komited melaksanakan pengurusan kolej kediaman pelajar secara sistematik dan berterusan, bukan sekadar menyediakan kemudahan asas, tetapi membentuk persekitaran kehidupan kampus yang menyokong perkembangan akademik, sahsiah dan kesejahteraan emosi pelajar.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, peranan kolej kediaman kini perlu dilihat melangkaui fungsi penginapan semata-mata.
“Kolej kediaman merupakan ruang hidup utama pelajar. Persekitaran yang kondusif bukan sahaja mempengaruhi tumpuan akademik, malah menyumbang kepada kesejahteraan mental, emosi dan pembentukan sahsiah,” jelas beliau.
Beliau menambah, universiti secara berterusan melaksanakan penambahbaikan kemudahan kolej kediaman melalui penyelenggaraan berjadual, peningkatan fasiliti, pengukuhan kawalan keselamatan serta aspek kebersihan bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.
Pendekatan ini sejajar dengan hala tuju RPN 2026–2035 yang mengiktiraf kepentingan persekitaran pembelajaran kondusif sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan graduan berilmu, berdaya tahan dan seimbang dari segi akademik serta kemanusiaan.
USIM akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong agenda pendidikan negara dengan memastikan kolej kediaman pelajar kekal sebagai ruang kehidupan kampus yang selamat, selesa dan menyokong pembangunan insan secara holistik.