NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengorak langkah memperkukuh celik digital dalam kalangan generasi muda menerusi pelaksanaan program AI-Driven Cybersecurity Through Cyber Hasanat for Sustainable Digital Communities yang berlangsung di Sekolah Menengah Agama Nilai (SMA Nilai) pada 22 Jun 2025 baru-baru ini. Program ini melibatkan penyertaan seramai 117 pelajar Tingkatan 1 dan 2, dengan matlamat membina kesedaran tentang keselamatan siber serta menerapkan etika penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian remaja — sejajar dengan pendekatan teknologi yang berlandaskan nilai.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Encik Darmadi bin Zulkifly, Penolong Kanan Pentadbiran SMA Nilai, yang merakamkan penghargaan kepada USIM atas inisiatif mendekatkan pendidikan keselamatan digital kepada pelajar sekolah. Menurut beliau, dalam dunia digital yang semakin mencabar, penguasaan teknologi perlu diseiringkan dengan nilai moral, akhlak dan kesedaran etika demi membentuk masyarakat digital yang berintegriti dan berdaya tahan.
Program ini digerakkan oleh 46 orang mahasiswa Tahun 2 Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi USIM, di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay selaku penasihat program. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) dan turut menerima sokongan dana sumbangan komuniti daripada Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) 2025.
Antara pengisian utama yang menarik perhatian ialah Interactive Secure Cybercitizenship Boardgame (SET), iaitu permainan papan interaktif yang direka khusus untuk menguji pengetahuan dan mencetuskan perbincangan dalam kalangan pelajar tentang privasi digital, jenayah siber serta kepentingan menjadi warganet yang bertanggungjawab. Selain itu, slot eksplorasi bertemakan AI turut dilaksanakan dengan pendekatan cabaran dunia sebenar, di mana peserta berpeluang menyelesaikan tugasan berkaitan penggunaan AI secara beretika, mengenal pasti peluang serta risikonya, dan berfikir secara kritis tentang implikasi teknologi pada masa depan.
USIM, melalui inisiatif AI-Cyber Hasanat, terus komited untuk menerajui agenda literasi siber berasaskan nilai dalam kalangan pelajar sekolah. Usaha ini diyakini mampu melahirkan generasi muda yang celik digital, beretika serta bersedia mendepani cabaran dunia teknologi melalui pendekatan lestari dan tanggungjawab sosial.