NILAI– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh agenda pendidikan berimpak tinggi menerusi penganjuran Program ExploreSTREAM 4.0 dengan kerjasama Petronas Dagangan Berhad dengan penglibatan seramai 814 mahasiswa dari 16 kursus akademik dan 21 buah sekolah dari Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Program berlangsung di Dewan Utama Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM pada 11 Jun 2025.

Program ini merupakan kesinambungan pendekatan berasaskan SULAM (Service-Learning Malaysia – University for Society), yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti berteraskan ilmu Naqli dan Aqli. Menariknya, pendekatan ini diadun secara holistik melalui elemen STREAM iaitu Science, Technology, Religion, Engineering, Art, Mathematics, menjadikan USIM antara pelopor integrasi pendidikan nilai dan teknologi di peringkat institusi pengajian tinggi.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, dalam ucapan perasmiannya menyifatkan program ini sebagai antara manifestasi komitmen USIM dalam menyokong agenda pendidikan negara yang mampan dan inklusif.

“Gabungan SULAM dan STREAM melalui penglibatan komuniti secara kolektif mampu memupuk semangat kerjasama, perkongsian ilmu, pemikiran kritis dan kreatif serta kemahiran kepimpinan – elemen penting dalam menghadapi era Revolusi Industri 5.0,” ujar beliau.

Program ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM, Yakult, SugarBomb, AEON BiG Putrajaya dan MOSTI STEM Camp, mencerminkan jalinan sinergi yang kukuh antara universiti, industri dan masyarakat.

Pelaksanaan ExploreSTREAM yang dimulakan sejak tahun 2022 telah berkembang dari peringkat sekolah rendah ke daerah, negeri dan kini ke peringkat kebangsaan. USIM menjangkakan lebih 1,000 murid sekolah rendah dan menengah menerima manfaat langsung dari pengisian program berbentuk pembelajaran interaktif, eksplorasi STEM, seni dan nilai spiritual melalui aktiviti amali yang menyeronokkan.

Menurut Naib Canselor lagi, keberhasilan program ini turut bergantung kepada keterlibatan aktif pelajar dari pelbagai fakulti seperti Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), serta Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) yang menerajui pembangunan modul STREAM bersama komuniti.

“Kita yakin pendekatan seperti ini akan terus memperkukuh fungsi universiti sebagai agen pembudayaan ilmu yang menyeluruh – bukan sahaja melahirkan graduan yang cemerlang, tetapi juga berjiwa besar dan celik sosial,” katanya lagi.

USIM melalui ExploreSTREAM 4.0 jelas memperlihatkan peranan aktif universiti dalam mendepani cabaran pendidikan kontemporari dengan pendekatan integratif yang memberi impak besar kepada pembangunan modal insan negara.