NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi Islam terkehadapan dalam bidang penyelidikan hadis apabila menganjurkan Syarahan Perdana Pengajian Hadis dalam Pengurusan Maklumat yang disampaikan oleh tokoh ulama hadis terkemuka dari dunia Arab, Syeikh Dr. Hammam Abdurraheem Said Melhem pada 22 Oktober 2025 baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) itu turut diserikan dengan pelancaran rasmi Kumpulan Penyelidikan Markaz al-Bahth li al-Hadith al-Nabawi (MARBAWI), hasil kerjasama strategik antara USIM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, dalam ucapannya berkata bahawa syarahan berprestij ini amat signifikan dalam konteks semasa apabila dunia kini berdepan dengan cabaran ledakan maklumat tanpa sempadan. Beliau menegaskan bahawa pendekatan ilmu hadis wajar dijadikan asas kepada sistem pengurusan maklumat yang sahih, beretika dan berautoriti.
“Ilmu hadis bukan hanya bersifat tradisional semata-mata, tetapi ia membentuk teras kepada pembangunan sistem maklumat yang berintegriti dan berakhlak. Pendekatan berpaksikan hadis mampu menjadi panduan dalam menapis serta menilai maklumat agar tidak tersasar daripada nilai kebenaran,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran Syeikh Dr. Hammam membawa makna besar kepada warga akademia dan masyarakat kerana beliau merupakan sarjana yang berjaya menghubungkan antara disiplin ilmu tradisional Islam dan teknologi maklumat moden. Melalui syarahan bertajuk “Ensiklopedia Hadis: Nilai dalam Pembangunan Ummah Madani”, Dr. Hammam menekankan bagaimana sumber-sumber hadis boleh dimanfaatkan dalam pembinaan tamadun berasaskan ilmu dan nilai.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin turut menjelaskan bahawa pelancaran MARBAWI menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan hadis di peringkat nasional dan antarabangsa. Kumpulan penyelidikan ini akan menjadi platform integrasi antara ilmuwan hadis, pakar maklumat serta institusi rakan strategik seperti DBP bagi memperkasa usaha pendigitalan, dokumentasi dan penyebaran ilmu hadis menggunakan pendekatan berasaskan teknologi terkini.
“Penubuhan MARBAWI adalah manifestasi komitmen USIM dalam menjadikan ilmu hadis sebagai asas pembangunan ilmu dan tamadun moden. Melalui penyelidikan berimpak tinggi, kita bukan sahaja mendokumentasikan warisan ilmu Rasulullah SAW, tetapi juga mentransformasikannya dalam bentuk yang lebih mudah diakses dan difahami oleh masyarakat,” ujarnya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DBP atas kerjasama erat dalam menjayakan majlis tersebut, yang mencerminkan kesepaduan antara institusi ilmu dan bahasa dalam menjunjung misi bersama memperkasa warisan keilmuan Islam melalui bahasa, budaya dan penyelidikan yang berkualiti.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, menyifatkan penganjuran Syarahan Perdana Pengajian Hadis dalam Pengurusan Maklumat sebagai satu wadah penting untuk mengangkat kembali nilai dan hikmah sunnah Rasulullah SAW dalam menghadapi cabaran maklumat masa kini.
“Hadis bukan sekadar teks keagamaan tetapi merupakan ensiklopedia nilai dan panduan peradaban yang membentuk asas kepada pembangunan ummah. Melalui hadis, kita diajar erti amanah, kasih sayang, keadilan dan tanggungjawab sosial yang menjadi tonggak kepada pembinaan masyarakat berilmu dan berakhlak. Dalam dunia yang sarat dengan maklumat palsu dan krisis moral, memahami hadis dengan benar menjadi benteng kepada kestabilan akidah dan akhlak umat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan sokongan terhadap penubuhan Kumpulan Penyelidikan Markaz al-Bahth li al-Hadith al-Nabawi (MARBAWI) yang dilihat selari dengan aspirasi kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan Islam berasaskan nilai dan disiplin pelbagai.
“Usaha membangunkan Ensiklopedia Hadis ini adalah satu transformasi ilmu yang amat bernilai. Ia menjadikan hadis lebih mudah diakses, difahami dan diaplikasi oleh masyarakat moden. Dengan pendekatan digital dan pangkalan data bersepadu, kita bukan sahaja memelihara warisan keilmuan Islam, tetapi turut memodenkan cara kita berinteraksi dengan sunnah Rasulullah SAW”, ujar YB Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Majlis yang dihadiri oleh warga akademik, para pelajar, serta tetamu kehormat ini diharap menjadi titik tolak kepada usaha berterusan USIM dalam memperkasa agenda Islamisasi ilmu dan pengurusan maklumat berteraskan wahyu.



