SHAH ALAM, 2 Ogos – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Worldwide Medivest Sdn Bhd, anak syarikat kepada Worldwide Holdings Berhad.
Majlis MoU ini yang diadakan bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC), menjadikan Worldwide Medivest Sdn Bhd sebagai rakan strategik baharu USIM dari kalangan pemain industri. Melaluinya, ia akan merintis kerjasama kedua belah pihak dalam bidang penyelidikan dan inovasi serta latihan untuk pembangunan surgical sutures project.
“Perjanjian Persefahaman ini adalah hasil cetusan idea YBhg. Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr. Asma Ismail untuk menjadikan USIM sebagai Universiti yang aktif dalam meluaskan jaringan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan inovasi dengan industri khususnya berkaitan produk halal,” ujar Prof. Dr. Hajah Mustafa Mohd Hanefah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dalam ucapannya.
Majlis Memorandum Persefahaman ini ditandatangani oleh YBhg. Prof. Dr. Hajah Mustafa Mohd Hanefah mewakili YBhg. Naib Canselor dan USIM bersama Timbalan Pengurus Bahagian Perhubungan Korporat Worldwide Medivest Sdn Bhd, Datin Paduka Norazlina Zakaria sambil disaksikan oleh Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Tuan Haji Otman Haji Omar dan Pendaftar USIM, Encik Muhammad Haizuan Rozali.
Menjadi rakan strategik kepada anak syarikat Worldwide Holdings Berhad memberi ruang kepada USIM untuk mendapat bantuan alatan perubatan pada masa yang sama memberi pendedahan kepada pelajar USIM di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan khususnya berkaitan kaedah penggunaan alat-alat pembedahan yang terkini.
Sebagai permulaan kerjasama ini, Worldwide Medivest Sdn Bhd berbesar hati menyumbang alatan pembedahan iaitu surgical sutures untuk kegunaan pensyarah dan pelajar bagi proses pembelajaran dan pengajaran di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).
Menurut Tuan Haji Othman Haji Omar, “Sumbangan ini juga secara tidak langsung akan mempromosikan produk surgical sutures keluaran Worldwide Medivest Sdn Bhd di pasaran secara lebih meluas. USIM menjadi salah-satu rakan strategik kita untuk mempromosikan kelebihan produk ini kerana ia merupakan alatan perubatan dari unsur halal pertama keluaran Malaysia dan menepati kehendak syariah”.
Kedua-dua pihak juga mempunyai hasrat yang sama untuk melihat kerjasama strategik ini diluaskan dalam bidang yang lain seperti pembinaan pada masa hadapan. Turut hadir pada majlis tersebut Tuan Haji Ahmad Azman Azizul Rahman, Pengurus Besar Kanan Worldwide Holdings Berhad, Prof. Madya Dr. Zairina Abdul Rahman, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM, Prof. Madya Dr. Awangku Abdul Rahman Hj. Abdul Awangku Yusuff, dan Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Pengkomersialan (PHIP) USIM.
Disediakan oleh :
Syazlyna Jamil
Penolong Pendaftar StraComm