NILAI – Dua mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) daripada Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) telah mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih anugerah Best Group Project dalam IP-COS Summer Course anjuran Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Indonesia.
Program yang berlangsung dari 27 Julai hingga 9 Ogos 2025 itu menggabungkan seramai 25 peserta antarabangsa dari pelbagai institusi termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ateneo de Manila University serta University of the Philippines Diliman.
Para peserta bersama-sama menjayakan Pameran Foto Dokumentari di Masjid Mataram, Kotagede, Yogyakarta, yang menjadi medium kolaborasi merentas budaya dan sempadan.
Menurut Dr. Muria Endah, Ketua Panitia IP-COS Summer Course, pameran ini merupakan rangkuman projek akhir peserta yang menampilkan hasil foto terbaik mereka. Setiap pelajar turut diberi peluang memberi penerangan kepada para pelawat dan pelancong yang hadir, sekali gus meningkatkan keyakinan serta kemahiran komunikasi antarabangsa.
Berkongsi pengalaman, salah seorang peserta USIM, Siti Nur Imanina Zamzuri berkata, banyak benda baharu yang telah diperolehi, tambah pula suasananya pun lain daripada biasa. Lepas menyertai program ini, keyakinan diri semakin meningkat.
“Walaupun bahasa Inggeris saya tidak begitu lancar, saya menjadi lebih berani untuk berinteraksi dengan rakan dari Filipina dan Indonesia. Seronok juga sebab dapat belajar beberapa perkataan baharu dalam bahasa Indonesia dan Tagalog. Paling menarik, kami dapat bertukar pandangan serta berkongsi budaya masing-masing. Memang pengalaman yang sukar dilupakan”, ujarnya lagi.
IP-COS Summer Course merupakan acara tahunan UMY yang memberi fokus kepada pembangunan kemahiran dalam kewartawanan foto. Antara pengisian utama termasuk kursus dan bengkel mengenai teknik fotografi, penulisan nota lapangan (field notes), pembinaan jalan cerita (storyboard), dokumentasi pameran foto serta lawatan ke lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Yogyakarta.
Penyertaan mahasiswa USIM ini turut mendapat sokongan daripada beberapa penaja iaitu Pusat Wakaf dan Zakat USIM, Surau Safni Nilai Impian, Zarasa Fotostat, LNC Room Print Sdn. Bhd., Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) serta sumbangan individu daripada Felo Budi FKP. Kejayaan ini sekali lagi membuktikan komitmen USIM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang akademik, tetapi juga berdaya saing di peringkat antarabangsa selari dengan aspirasi universiti ke arah global.