PUTRAJAYA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta pencapaian membanggakan apabila kumpulan “USIM AI (Artificial Intelligence) Syariah” menerima Special Mention Award dalam pertandingan berprestij AI Hackathon for Public Sector 2025, anjuran Microsoft Malaysia bersama Public Sector for Digital Skills.
Menurut Ts. Khadijah Chamili Ketua Bahagian Perkhidmatan Digital, SDEC USIM berkata, anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap projek inovatif mereka yang dinamakan (Islamic Family Legal Advisor) ILA, iaitu sebuah agen AI berasaskan platform Microsoft Azure yang direka khusus untuk memberi panduan dalam isu-isu perundangan kekeluargaan Islam secara pintar, tepat dan efisien.
“Menggunakan teknologi termaju seperti Azure OpenAI, Azure AI Search, dan Azure AI Document Intelligence, ILA berfungsi menelusuri dan menstrukturkan maklumat daripada dokumen perundangan Syariah secara automatik. Hasilnya, pengguna dapat menerima nasihat undang-undang yang tepat dan bersesuaian melalui antaramuka chatbot mesra pengguna”, ujarnya lagi.
Ts. Khadijah berkata lagi, Special Mention Award ini diberikan kepada pasukan yang mempamerkan kes penggunaan (use case) yang unik serta mempunyai potensi besar untuk dikembangkan, disamping penggunaan teknologi yang inovatif, keselarasan dengan tema pertandingan, dan tahap komitmen sepanjang hackathon berlangsung.
Selain USIM, kumpulan “LabourLensAI” daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menerima pengiktirafan khas tersebut.
Projek ini merupakan hasil kolaborasi mantap antara Klinik Guaman USIM (KGU) dan System Development and Engineering Center (SDEC) USIM. Pasukan dibarisi oleh Dr. Norsuhaida Che Musa, Ts. Khadijah Chamili, Ts. Ussyairah Ali, Encik Ahmad Faiz Ab Aziz, dan Ts. Dr. Syarifah Bahiyah Rahayu.
Bertemakan “Supercharging Malaysia Public Services with Microsoft AI Platform”, pertandingan ini menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi, dengan matlamat mempercepat transformasi digital sektor awam negara melalui kecerdasan buatan.
Kejayaan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan USIM dalam landskap teknologi negara, malah menyerlahkan komitmen universiti dalam melahirkan penyelesaian digital yang selari dengan prinsip Syariah dan memberi impak positif kepada pembangunan sistem perkhidmatan awam di Malaysia.